Ulusan Filem | Avatar: Fire and Ash

Movie
25 Dec 2025 • 7:00 PM MYT
Rasfan Abu Bakar
Rasfan Abu Bakar

Penulis merupakan pensyarah seni visual di ASWARA

image is not available
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt1757678/mediaviewer/rm1040624386/?ref_=tt_ov_i

James Cameron kembali dengan naskhah trilogi dalam saga epik Avatar: Fire and Ash. Installasi terbaru filem ini masih mengekalkan konsep fantasinya serta terus meluaskannya ke wilayah dunia asing dengan membawa penonton keluar dari lautan biru The Way of Water ke kawah gunung berapi yang dihuni oleh suku baharu.

Naratif Fire and Ash bermula sejurus selepas peristiwa tragis dalam filem sebelumnya. Keluarga Sully masih bergelut dengan kesedihan selepas kematian anak sulung mereka, Neteyam. Jake Sully dan Neytiri kini berada dalam situasi yang lebih terdesak, cuba melindungi saki baki keluarga mereka daripada ancaman RDA yang tidak pernah padam. Namun, ancaman kali ini bukan sahaja datang dari manusia tetapi dari kaum Na'vi sendiri.

Plot utama berkisar terhadap Kolonel Quaritch yang kini berada dalam tubuh Avatar. Beliau sedang mencari sekutu baharu untuk membalas dendam. Pencarianya membuahkan hasil apabila berjaya menemui suku "Ash People" atau Klan Mangkwan, satu suku kaum Na'vi yang agresif dan hidup di kawasan gunung berapi. Mereka digambarkan sebagai klan yang telah berpaling daripada ajaran harmoni Eywa serta memilih jalan kekerasan demi kuasa. Konflik memuncak apabila Quaritch bergabung tenaga dengan Varang, pemimpin Ash People untuk memburu Jake Sully lalu meletakkan keluarga tersebut dalam bahaya yang belum pernah dialami sebelum ini.

Jika filem terdahulu memukau dengan imejan warna telus cahaya berimejkan hutan dan kejernihan air, Fire and Ash pula menawarkan estetika yang jauh lebih gelap dan kasar. Pengarah filem James Cameron telah menukar tona warna lembut kepada merah menyala, asap kelabu dan hitam legam. Kawasan gunung berapi ini bukan sekadar latarbelakang penceritaan sahaja tetapi cerminan jiwa watak-wataknya yang sedang "terbakar" dengan amarah dan dendam. Suku Ash digambarkan hidup dalam persekitaran keras yang membentuk budaya mereka dengan menjadi militan dan tanpa rasa belas kasihan.

Image from: Ulusan Filem | Avatar: Fire and Ash
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt1757678/mediaviewer/rm2881659138/
Image from: Ulusan Filem | Avatar: Fire and Ash
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt1757678/mediaviewer/rm1589813506/

Dari segi watak, satu perubahan terbesar dalam filem ini adalah peralihan narator daripada Jake Sully kepada anaknya, Lo'ak. Hal ini sekaligus memberi nafas baharu kepada penceritaan serta menjadikan ia lebih fokus kepada generasi pelapis.

Watak Neytiri pula harus menerima pujian tinggi kerana pembawaan emosi yang mendalam. Kesedihannya telah bertukar menjadi kebencian yang membuak-buak, terutamanya terhadap Spider, anak manusia yang hidup bersama mereka. Ketegangan antara Neytiri dan Spider menjadi antara elemen drama paling kuat dalam filem ini.

Di pihak antagonis, Varang telah mencuri tumpuan. Beliau disifatkan sebagai "ratu pahlawan" yang menakutkan dan penuh karisma jahat. Gandingannya dengan Quaritch mewujudkan dinamik penjahat yang berkesan serta menghidupkan suasana penceritaan.

Secara keseluruhannya, filem ini berjaya mengangkat kualiti produksinya ke tahap yang lebih tinggi dan seterusnya menjadi penanda aras buat pembikin filem di seluruh dunia. Siapa yang boleh menafikan pengalaman sinematik yang mengasyikkan tatkala menonton Avatar: Fire and Ash. Ia adalah sebuah karya yang masih kekal sebagai raja segala filem blokbuster dari segi teknikal dan skala. Penonton bukan sahaja datang untuk menonton filem semata-mata tetapi anda datang kerana keajaiban teknologi yang hanya James Cameron mampu sajikan.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my


Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.