
UM Nafi Fasiliti PET-CT Di PPUM Terdedah Risiko Radiasi
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan fasiliti imbasan tomografi pancaran positron-tomografi berkomputer (PET-CT) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) terdedah kepada risiko radiasi berbahaya.
UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum kebimbangan warga kerja berhubung isu kesihatan serius melibatkan diagnosis kanser, namun menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Menurut UM, operasi imbasan PET-CT di pusat perubatan itu dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan yang ketat dengan tahap pendedahan radiasi yang sentiasa dipantau serta terkawal dan semua pekerja sinaran diwajibkan memakai dosimeter peribadi.
“Rekod rasmi menunjukkan dedahan radiasi pekerja adalah jauh lebih rendah dan berada di bawah had dos yang diwartakan dan pemeriksaan kesihatan berkala dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Universiti berkenaan memaklumkan PPUM mematuhi sepenuhnya perundangan dan peraturan termasuklah prosedur operasi standard (SOP) Program Perlindungan Sinaran, Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Perlindungan Sinaran Keselamatan Asas) 2010 serta Peraturan-Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011.
Baca juga:“Pengurusan sisa radioaktif di PPUM sentiasa dipantau rapi dan pemeriksaan oleh Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP), Kementerian Kesihatan (KKM) pada Oktober tahun lepas mendapati tiada sebarang pelanggaran prosedur dikesan.
“Lawatan pemeriksaan lesen secara tahunan oleh pihak penguat kuasa BKRP turut dilaksanakan mengikut keperluan dan kepatuhan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut UM, PPUM sentiasa bersedia untuk diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap semua peraturan dan piawaian keselamatan.
“Pihak pengurusan memberi jaminan bahawa persekitaran kerja yang melibatkan radiasi adalah selamat dan sentiasa diawasi oleh badan kawal selia bertauliah serta menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi tidak berasas yang boleh menimbulkan keresahan awam,” menurut kenyataan.
Terdahulu, tular laporan media mengenai dakwaan berlaku pelanggaran prosedur keselamatan radiasi di Unit Perubatan Nuklear hospital berkenaan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga kerja dan pesakit.

