'Umair seperti tidur tapi senyum.' Tragedi 18 Ramadan, keluarga pilu bayi maut nahas ‘dipinjamkan’ 8 bulan 24 hari

LocalFamily & Parenting
12 Mar 2026 • 1:21 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

HARI ke-18 Ramadan menjadi tarikh yang sangat menyayat hati buat sebuah keluarga ini apabila seorang bayi lelaki kesayangan keluarga, Wan Umair Zafri Wan Muhammad Hadi kembali kepada Maha Pencipta selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Perkongsian ibu saudara si kecil itu, Wan Nur Allia Wan Rosli, menyifatkan kejadian yang berlaku sebagai satu ujian besar buat keluarga mereka, lebih-lebih lagi kepada adiknya, Wan Muhammad Hadi yang kehilangan putera tunggal.

Kurang dua minggu tibanya Syawal, si kecil kesayangan keluarga bertukar menjadi kenangan apabila dilaporkan kritikal akibat nahas jalan raya sebelum pergi buat selamanya.

image is not available

"Tragedi 18 Ramadan, ujian hebat buat adikku. 8 Mac 2026, Ahad, kami dikejutkan dengan berita Hadi, Aisyah dan anaknya Umair terlibat dengan kemalangan di Kelulut, Marang Terengganu. 

"Menggigil dengar berita ni. Hadi cedera ringan, isterinya Aisyah patah tangan, Umair agak kritikal, terpaksa ditidurkan dan dikatakan mengalami brain death. 

"Kami harapkan keajaiban apabila tahun keadaan Umair. Seluruh ahli keluarga datang berkumpul nak berikan kekuatan dan semangat kepada mereka," titipnya.

Namun, ternyata ALLAH lebih menyayangi, si kecil Umair dijemput 'pulang' keesokan hari. Wajah mulus Umair seolah sedang tidur seolah gambaran wildan syurga.

image is not available

"9 Mac, Isnin 9.40 pagi, Hadi maklumkan nadi anaknya Umair sudah berhenti. Doktor menanggalkan semua wayar pada badan. 

"Terdiam sepi masa berlalu. Sayunya pada hari tersebut. Umi dan abahnya reda dengan pemergian Umair.

"Abah umi Umair kuat. Umi cakap nanti Umair akan dijaga oleh Nabi Ibrahim. Ya ALLAH tabahkan hati mereka. Wajah Umair seolah tidur tenang yang sedang bermimpi indah, seolah tiada kesakitan langsung pada wajah. 

"Sucinya wajah anak syurga. Umair. Nanti tarik umi abah dan kami semua ke syurga ya. Kita kumpul semula di syurga ramai-ramai," kongsinya.

Wan Nor Alia dalam masa yang sama menyatakan keluarga reda dengan ketentuan ALLAH dan bersyukur diberi peluang menjaga serta menumpang kasih si kecil itu selama hampir sembilan bulan.

image is not available

"Sesungguhnya ALLAH SWT lebih tahu apa yang terbaik untuk kami. Kami reda dengan pemergiannya Ya ALLAH dan kami tahu syurga-MU adalah rumah barunya. 

"Terima kasih untuk pinjaman anak ini selama lapan bulan 24 hari.

"Dari awal mengandung sehingga akhir nyawanya, ALLAH sangat memudahkan semua urusan. Umi takde alahan mengandung, masa bersalin 39 minggu tiada kontraksi sampai hinggalah bukaan sentimeter (sm)  dan Umair lahir sejam selepas itu. 

"Umair anak yang sangat mudah dijaga. Tidak berjaga malam, semuanya baik-baik sahaja. Umi tengok Umair comel sangat. 

 

"Jasad Umair elok tiada cedera luaran yang teruk. Umair seperti tidur sambil senyum, hmm mesti nampak syurga kan. Wan Umair Zafri, bermain-mainlah disana sayang Umi Abah,"  titipnya.

Dalam hantaran di Facebook, ahli keluarga turut berkongsi foto akhir wajah bayi tersebut kelihatan sangat tenang, seolah-olah sedang tidur tanpa sebarang kesakitan.

Kepada SinarPlus, Wan Nur Allia berkongsi Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan sepatutnya menjadi yang pertama buat Allahyarham. 

Sedang melalui situasi sukar, dia memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan adik serta adik iparnya terus tabah.

"Mohon warganet mendoakan kekuatan dan tiupkan kata-kata semangat buat umi dan abah baby Umair juga ya. Terima kasih.

"Baby Umair merupakan anak tunggal dan tahun ni merupakan tahun pertama mereka sepatutnya raya sebagai keluarga lengkap,"  katanya.

Semoga keluarga ini beri ketabahan.

View Original Article