
KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diminta terus yakin terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) yang kini disifatkan kekal teguh dalam mempertahankan hak pendeposit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, TH kini telah bangkit semula selepas melalui proses pemulihan dan penambahbaikan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.
Menurutnya, dana pendeposit TH kini melonjak melebihi RM90 bilion, manakala agihan keuntungan mencatat rekod tertinggi sejak 2018.
“Hari ini Tabung Haji telah bangkit semula. Alhamdulillah, dana pendeposit melonjak melebihi RM90 bilion.
“Agihan keuntungan mencatat rekod tertinggi sejak 2018. Kos haji kekal stabil hasil pengurusan yang berhemat.
“Kepada umat Islam di Malaysia, yakinlah, Tabung Haji kekal teguh mempertahankan hak anda,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli berkata, kerajaan juga berikrar melaksanakan pindaan Akta Tabung Haji 1995 dengan segera bagi melengkapkan penambahbaikan tadbir urus yang telah dilaksanakan.
Katanya, simpanan dalam TH bukan sekadar angka kewangan, sebaliknya amanah yang melibatkan wang hasil titik peluh umat Islam termasuk petani, nelayan dan jemaah yang menyimpan untuk menunaikan ibadah haji.
“Ini bukan sekadar simpanan, ini adalah amanah yang suci.
“Kita pelihara kepercayaan ini, kita pertahankan maruah institusi ini demi agama, demi bangsa dan demi tanah air,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi ruang kepada TH melengkapkan baki syor RCI yang masih dalam proses pelaksanaan.
Katanya, pendedahan dan perbahasan laporan itu membuktikan ketelusan kerajaan dalam pengurusan institusi penting negara.-UTUSAN
The post Umat Islam Malaysia yakinlah Tabung Haji kekal teguh appeared first on Utusan Malaysia.






