
KOTA BHARU – Seorang wanita Thailand bertindak membalut kakinya demi menagih simpati orang ramai ketika meminta sedekah di kawasan kaki lima sebuah bank di Jalan Padang Garong di sini semalam.
Wanita yang dikenali sebagai Umi, 68, dan berasal dari Tak Bai merupakan antara tujuh geladangan termasuk seorang kanak-kanak yang dicekup Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Operasi Murni Bersepadu di sekitar bandar Kota Bharu.
Umi yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri mengaku bahawa dia yang menghidap kencing manis dan penyakit saraf sejak beberapa tahun lalu membalut kaki kirinya dengan kain untuk meraih simpati orang ramai.
“Saya memang ada penyakit kencing manis, namun kaki tidak dipotong dan bahagian itu dibalut untuk meraih simpati orang ramai sahaja. Saya hidup sebatang kara di Thailand selepas anak tunggal maut dalam kemalangan jalan raya.
“Selepas kematian anak, suami pula meninggal dunia. Saya sudah tiada keluarga di Tak Bai sebelum mengambil keputusan untuk mencari rezeki dengan meminta sedekah di kaki lima,”katanya ketika ditemui pemberita pada Operasi Murni Bersepadu di sini semalam.
Umi memberitahu, dia juga sudah empat tahun meminta sedekah di kaki lima bank tersebut dan memperoleh wang sebanyak RM30 sehari.
Sementara itu, Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, operasi tersebut turut menahan tujuh gelandangan yang terdiri daripada tiga wanita Thailand bersama seorang kanak-kanak dan empat lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan sembilan hingga 70 tahun.
“Kesemua gelandangan yang diberkas didapati meraih simpati orang ramai dengan meletakkan pelbagai makanan untuk dijual di kaki lima dan meminta sedekah,” ujarnya.
Tambahnya, tiga wanita Thailand diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala empat lagi gelandangan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Umi mengaku balut kaki untuk tagih simpati appeared first on Kosmo Digital.

