‘Umi, Yana menang motor.’ Tuah Nur Liyana Athirah penerima skrol ke sejuta UiTM, catat nama Malaysia Book of Records

21 Aug 2023 • 11:35 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

UMI, Yana menang motor.” Demikian ungkap graduan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Nur Liyana Athirah Izani, 22, yang merupakan penerima skrol ke sejuta institusi itu.

Menerimanya pada Istiadat Konvokesyen Ke-97 baru-baru ini, Nur Liyana cukup bertuah kerana turut membawa pulang hadiah sebuah motosikal, cermin mata La Calisto Sdn. Bhd. berharga RM1,500, penginapan di Grand Swiss-Belhotel Melaka 3 Hari 2 Malam dan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menerusi laman sosial UiTM, Nur Liyana yang merupakan anak kelahiran Bachok, Kelantan tidak mengetahui dirinya adalah penerima skrol ke sejuta. Pun begitu, sebelum istiadat berkenaan, gadis bertuah ini menzahirkan rasa gugup.

image is not available

“Saya tidak tahu ketika mula datang (untuk menghadiri istiadat konvokesyen) tadi saya berasa sangat nervous.

“Dengan penganugerahan skrol ke sejuta, ini bermakna UiTM boleh menghasilkan ramai graduan yang memasuki pasaran kerjaya.

image is not available

“Saya sangat berbangga menjadi salah seorang daripadanya. Sebagai bukti UiTM mampu menghasilkan sejuta graduan, sayalah warganya,” ujar Nur Liyana.

image is not available

Penganugerahan skrol ke sejuta sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) pilihan pelajar lepasan sekolah apabila mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR).

image is not available

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya sangat berbangga dapat meraikan penganugerahan skrol ke sejuta pada konvokesyen kali ini.

“Ini menjadikan jumlah skrol dikeluarkan UiTM sehingga berakhirnya majlis istiadat konvokesyen kali ini adalah sebanyak 1,003,241 skrol.

“Ia satu angka yang boleh dibanggakan kerana mencerminkan UiTM telah menggerakkan misinya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum paling hadapan dan penyelidikan berimpak,” katanya.

image is not available

 

UiTM mewarnai sektor pengajian tinggi pada tahun 1956. Selain kampus, ia telah mengembangkan sayapnya ke seluruh negara dengan mempunyai 12 buah kampus negeri (tujuh daripadanya adalah kampus negeri berautonomi), enam kampus satelit di Shah Alam, 11 kampus satelit negeri dan 21 kolej bersekutu.

Dengan tenaga kerja seramai lebih kurang 17,770 orang dalam satu rangkaian yang besar, universiti itu menawarkan lebih daripada 500 program akademik.

Sumber: UiTM 1, 2

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!