UMNO Arau Digantung, Rayuan Tajuddin Ditolak, Penggantungan Berkuatkuasa Semalam - Isham

Politics
6 Jan 2023 • 7:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mesyuarat turut memutuskan untuk menolak rayuan bekas Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang berdepan penggantungan selama enam tahun - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - UMNO Bahagian Arau digantung berkuatkuasa serta merta selepas didapati bersalah melanggar perlembagaan parti.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (UMNO) yang dipengerusikan presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, mesyuarat turut memutuskan untuk menolak rayuan bekas Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang berdepan penggantungan selama enam tahun.

“Kerana rayuan itu ditolak, penggantungan beliau berkuatkuasa hari ini,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat MKT di lobi Menara Dato Onn di sini malam tadi.

Susulan penggantungan UMNO Arau, Isham memberitahu, seorang Ketua Pentadbir akan dilantik mengepalai bahagian itu buat sementara waktu.

“Kita akan lantik ketua pentadbir secepat mungkin. Senarai calon itu akan dibincangkan. Mereka digantung atas sebab disiplin kerana melanggar perlembagan parti,” katanya.

Sebelum ini, MKT memecat Ketua UMNO Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan isterinya, Datin Seri Shamsian Yassin yang juga Ketua Wanita UMNO Arau, selepas didapati bersalah menyokong dan bertanding mewakili pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Turut berdepan tindakan sama sebelum ini ialah Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan isterinya, Datin Seri Fatimah Kassim.

Tajuddin pula digantung 2 Oktober lalu, bersama Ketua UMNO Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail.

Penggantungan itu disahkan Mohd Yusof menerusi kenyataan kepada media.

Tajuddin terlebih dahulu dipecat daripada MKT pada 21 Jun lalu, menerusi surat yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. - Getaran, 6 Januari 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved