
BELURAN: Umno Bahagian Beluran tidak akan memberikan peluang kepada parti Bersatu untuk mengambil kerusi tradisi mereka di Beluran.
Ketua Umno Beluran, Julie Sabran berkata, Bersatu seharusnya sedar kerusi berkenaan bukanlah milik mereka dan meghormati perkara berkenaan.
Menurutnya, mengambil kerusi yang bukan hak mereka, adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.
Jelasnya, perbuatan itu jelas memperlihatkan Bersatu Sabah sendiri tidak menghormati kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Saya menegaskan selaku Ketua Umno Bahagian Beluran akan mempertahankan sehabis-habisnya, kita lawan tetap lawan dan kita tidak akan beri seincipun peluang kepada parti Bersatu untuk mengambil kerusi Parlimen Beluran.
“Jika itu mereka nyatakan, ternyata mereka sendiri yang tidak menghormati kerajaan GRS BN kerana mahukan sesuatu yang bukan hak mereka,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau mengulas isu kenyataan Ketua Srikandi Bersatu Sabah yang menegaskan kekal mempertahan enam kerusi parlimen termasuk parlimen Beluran yang dimenangi pada piliahan raya umum (PRU) sebelum ini.
Enam kerusi berkenaan iaitu Parlimen Kudat, Ranau, Beufort, Sipitang, Libaran dan Beluran.
Julie berkata, adalah tidak wajar Bersatu Sabah yang dahulunya bertanding atas tiket Barisan Nasional dan telah bertukar parti lalu kini menyatakan mereka ingin mengekalkan kerusi itu.
“Sepatutnya mereka kosongkan kerusi tersebut untuk memberi peluang kepada rakyat memilih semula pemimpin yang benar-benar diberikan mandat,” katanya.
Julie berkata, jika itu yang Srikandi Bersatu mahukan, Umno Beluran tidak akan memberikan peluang kepada parti berkenaan dan kekal mempertahankan kerusi terbabit dalam pilihan raya umum ke-15 kelak.



