
UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid menyatakan sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya.
Menurutnya, kekuatan sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada struktur organisasi semata-mata, sebaliknya dibina melalui sokongan, dokongan dan kebersamaan seluruh ahli di setiap peringkat.
“UMNO membuka pintu Rumah Bangsa ini seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahliannya untuk kembali, serta kepada mana-mana individu yang ingin bersama perjuangan parti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
‘Rumah bangsa? Tiada sebab saya untuk tinggalkan PAS’ – Annuar Musa
UMNO buka pintu kepada ahli dipecat, digantung kembali sertai parti
Muhyiddin tolak Hamzah kembali sertai PN
Beliau berkata, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan yang berlaku sebelum ini dianggap selesai demi membuka lembaran baharu bagi memperkukuh kembali keluarga besar parti tersebut.
Sehubungan itu, Zahid memaklumkan Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara yang bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.
Tambahnya, usaha itu diharapkan dapat menjadi titik penyatuan bagi mengukuhkan semula kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, sekali gus memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat serta negara.
The post UMNO buka pintu kepada ahli dipecat, digantung kembali sertai parti appeared first on The Reporter.
