UMNO disaran lantik KJ sebagai ketua penerangan parti

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO disaran lantik KJ sebagai ketua penerangan parti
Khairy Jamaluddin

SHAH ALAM - UMNO boleh mempertimbangkan untuk memberikan peranan sebagai ketua penerangan atau portfolio setara kepada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Damansara, Amin Shukor berkata, ini kerana 'profile' semasa Khairy jika diselia dengan tepat pasti akan memberikan kesan langsung yang menguntungkan parti.

"Pada pandangan peribadi saya, UMNO boleh mempertimbangkan Khairy Jamaluddin.

"Bagi saya, bukan sahaja ahli UMNO yang perlu 'disegarkan' semula dengan naratif hala tuju, malahan rakyat juga perlu diperjelaskan hala tuju jelas peranan UMNO BN semasa ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Amin, peranan 'penyampai' yang baik amatlah diperlukan buat masa ini agar segala naratif jelas dan usaha baik yang disusun oleh parti boleh segera difahamkan dan segmen penerangan perlu betul-betul diperkasakan.

Jelasnya, UMNO tidak perlu terperangkap dengan suasana politik 10 hinggan 15 tahun yang lalu.

"Apa juga keadaan perlu segera jelas dan diperjelaskan kerana sumber maklumat sudah di hujung jari.

"Terlalu banyak usaha baik dan gerak tindak yang positif sedang diusahakan pasukan UMNO BN yang diterajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu segera disampaikan secara cepat, pantas dan seterusnya mampu memanfaatkan ahli, rakyat dan pengundi," katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa usaha mendepani cabaran semasa politik tanah air perlu lebih jelas naratifnya.

"Rakyat tetap perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam kesemua usaha dan gerak kerja," katanya.

View Original Article