[DIKEMAS KINI] KENYATAAN Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi iaitu “DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam Kerajaan Johor BN” ternyata mengundang pelbagai reaksi.
Dengan penuh yakin beliau menyatakan, “Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.”
Onn Hafiz menyatakan, biar beliau kehilangan jawatan MB, daripada duduk bersama DAP.
Beliau meluahkan rasa hati tersebut ketika Presiden UMNO berada sepentas dengannya. Kenyataan begitu jelas, tegas lagi berani.
Beliau tidak perlu berkias dalam meluahkan isi dadanya kepada Presiden UMNO. Barangkali dia mewakili suara majoriti anak muda Melayu di dalam dan di luar UMNO.
Kenyataan Onn Hafiz mendapat reaksi buruk dari Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Sheikh Umar Bagharib Ali, tokoh DAP Melayu Johor.
Mereka melenting, barangkali kerana bom jangka yang meletup di Johor ini boleh menghancur-lumatkan harapan PH untuk kembali berkuasa.
Boleh membawa keputusan buruk kepada DAP dan PKR di dalam PRN Johor serta PRU 16 seperti mana terjadi di PRN Sabah yang lepas.
Anthony Loke menyatakan Onn Hafiz bersikap angkuh. Manakala Sheikh Umar mengatakan Onn Hafiz sangat angkuh.
Beliau membangkitkan bagaimana DAP membantu UMNO selepas Onn Hafiz meminta pertolongan semasa PRK DUN Mahkota.
Salahkah Onn Hafiz menyatakan sikap serta prinsipnya? Apakah Anthony Loke terpukul kerana Onn Hafiz menegaskan prinsip dan sikapnya?
Apakah Anthony Loke menyedari dirinya serta DAP tiada prinsip?
Suara Anthony Loke dan DAP menujah langit sebelum mendapat kuasa mahu menangkap Azam Baki, PM tidak boleh pegang jawatan Menteri Kewangan, tokoh politik tidak boleh pimpin GLC, menolak Zahid serta UMNO.
Malah DAP turut bergembira dengan lagu Hoi, Hoi, Hoi Yahooi. Lagu penolakan terhadap UMNO.
Pengundi Cina sudah mampu mengenali DAP sebagai parti oportunis. Topeng hodoh DAP telah tersingkap. Pengundi Sabah telah menghukum mereka.
Mengapa Anthony Loke berdiam diri dengan sikap biadap ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang menyatakan “rasa dukacita” dengan titah Sultan Selangor semasa membuka Sidang DUN Selangor?
Tidakkah begitu angkuh lagi biadap seorang ADUN menghamburkan rasa jeliknya kepada Sultan Selangor di dalam Sidang DUN yang mulia kerana tidak bersetuju titah baginda menolak sebarang bentuk ternakan babi di Selangor.
Kenapa Anthony Loke tidak menegur terhadap Teresa Kok Suh Sim yang terang-terang di mahkamah menyatakan beliau tidak bersetuju agama Islam menjadi agama Persekutuan.
Itulah difahami ramai daripada jawapannya. Teresa Kok menjawab soalan peguam defenden dalam saman beliau terhadap Zaini Hassan, bekas Utusan Melayu.
Mengapa Anthony Loke diam? Mengapa dia terkancing gigi tanpa menegur kebiadaban serta keangkuhan Teresa Kok Suh Sim dan Wong Siew Ki. Inilah sikap double standard Anthony Loke serta kepimpinan DAP.
Suara keramat anak muda
Luahan hati Onn Hafiz mendapat pelbagai reaksi dari pemimpin UMNO sendiri. Bukan sahaja soal menolak sebarang kerjasama dengan DAP. Malah Onn Hafiz mengatakan Johor BN akan pergi solo atau bertanding sendirian semasa PRN nanti.
SPR telah mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon pada 27 Jun, manakala tarikh pengundian pada 11 Julai 2026.
Onn Hafiz tegas menolak kerjasama dengan DAP. Jauh sekali berkongsi kuasa atau membentuk Kerajaan Campuran bersama DAP bagi Johor BN.
Implikasi daripada penegasan Onn Hafiz adalah beliau begitu percaya terhadap kekuatan serta kemampuan Johor BN.
Kedua, beliau secara peribadi tidak menggemari, tidak meyakini, malah menolak untuk bersama DAP dalam apapun cara serta kaedah. Menolak DAP secara total.
Biarpun terpaksa melepaskan kerusi MB daripada membentuk kerajaan bersama DAP. Barangkali Onn Hafiz sampai ke tahap meluat melihat gelagat DAP di dalam kerajaan Madani.
Sikap serta semangat Onn Hafiz selari dengan pegangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh. Telah lama Akmal Salleh menyuarakan rasa hatinya untuk tidak bersama DAP.
Malah beliau melontarkan rasa ketidakpuasan terhadap kerenah DAP di dalam kerajaan Madani.
Perang mulut beliau dengan tokoh DAP sering menghiasi dada akhbar dan media sosial.
Sayangnya, jarang sekali perang mulut antara Akmal Salleh dengan DAP mendapat sokongan dari Exco Pemuda UMNO. Hal ini terjadi sama ada Exco Pemuda UMNO takut kepada DAP atau menjaga kepentingan diri.
Kepimpinan tertinggi BN yang mempertahankan Onn Hafiz, hanyalah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir iaitu Setiausaha Agung yang menyatakan ”wajar dipertahankan”.
Menurut beliau, ia soal perbezaan prinsip dan konteks politik Johor, bukan kebencian kaum. Manakala Akmal Salleh menganggap pendirian Onn Hafiz itu selari dengan akar umbi UMNO Johor.
Secara umum percaya, majoriti Orang Melayu menolak DAP. Malah penolakan terhadap DAP ini termasuk pendukung, penyokong serta simpatates UMNO di peringkat akar umbi.
Begitupun pemimpin UMNO hampir di semua peringkat menampakkan penerimaan mereka terhadap DAP. Malah membiarkan UMNO dijenamakan UMDAP.
Sikap serta gambaran inilah menyebabkan anak muda tidak berminat menyertai UMNO. Mereka lebih cenderung menyokong atau menjadi ahli Pas.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung UMNO dengan bangga menggambarkan bahawa “Rumah Bangsa” yang dilancarkan oleh Presiden UMNO mendapat sambutan ramai.
Beliau menyatakan, dalam sebulan selepas pelancaran itu telah menerima lebih 12,000 permohonan. Asyraf Wajdi menyatakan sambutan daripada anak muda agak luar biasa iaitu lebih 8,000 orang telah memohon menjadi ahli UMNO.
Kalau UMNO mengharapkan orang seperti Asyraf Wajdi ini turut mengemudikan UMNO, alamat tersungkurlah UMNO.
Bagaimana Asyraf Wajdi begitu terpesona dengan jumlah lebih 8,000 orang anak muda menyertai UMNO? Lantas digambarkan kejayaan Rumah Bangsa menarik minat anak muda Melayu.
Asyraf Wajdi membaca sifir apa atau menghitung matematik cara mana, angka lebih 8,000 itu sudah begitu besar bagi dirinya?
Cuba Asyraf Wajdi renungkan angka para pelajar mengambil peperiksaan SPM setiap tahun dari 2023 hingga 2025.
Tahun 2023 seramai 375,000, tahun 2024 iaitu 402,000 dan tahun 2025 terdapat 413,299 orang. Tiga tahun ini sahaja sudah lebih 1 juta anak muda dalam pasaran politik.
Mereka mengambil SPM ketika berumur 17 tahun. Bermakna setahun selepas itu mereka sudah boleh terlibat di dalam politik.
Graduan dari universiti awam hampir 100,000 setahun, manakala kolej dan universiti swasta lebih kurang 110,000 setahun. Lepasan kolej komuniti dan politeknik hampir 60,000 orang. Lepasan TVET lain (GiatMara, ILP, IKBB, kolej kemahiran) lebih 80,000 pelajar.
Bermakna lebih 300,000 para belia sudah boleh menceburkan diri di dalam politik. Lebih kurang 70 peratus dari angka itu adalah Melayu-Bumiputera. Menjadikan lebih 200,000 belia Melayu-Bumiputera sudah boleh aktif. Malah mereka boleh aktif sejak di institusi pengajian lagi.
Ramai yang percaya para belia Melayu kurang meminati UMNO, kerana rekod hodoh pemimpin UMNO sendiri.
Penolakan mereka semakin ketara, bila UMNO bersedia membentuk Kerajaan Madani bersama DAP, yang selama ini diajar sebagai musuh utama UMNO dan orang Melayu.
Sikap pemimpin UMNO itu menimbulkan berbagai tafsiran buat anak muda.
Oleh itu pemimpin UMNO perlu membersihkan diri. Segala bentuk kurap, kudis dan tokak perlu diubati. Yang paling penting, ialah putuskan hubungan dengan DAP.
Pemimpin utama UMNO perlu menyokong suara seperti Onn Hafiz dan Akmal Salleh. Bukan menekan suara-suara sewaktu dengan mereka.
Pemimpin utama UMNO perlu menunjukkan mereka berani menegur lagi menyanggah suara DAP. Jangan dibiarkan suara-suara DAP yang penuh rasis, angkuh lagi biadap berlenggang di depan mata mereka.
UMNO perlu muhasabah diri
UMNO perlu secara jujur melihat ke dalam diri. Menghitung kekuatan serta melihat kelemahan diri. Benarkah UMNO kuat dan perkasa di masa ini.
Adakah UMNO mendapat tempat di hati pengundi Melayu? Benarkah UMNO menjadi parti pilihan para belia mutakhir ini?
Cara yang mudah adalah melihat keputusan PRU 15 (19 November 2022) atau PRN (12 Ogos 2023) yang lepas.
Cuba bandingkan antara keputusan tersebut. Terdapat PRN lebih awal dari PRU 15, seperti Melaka dan Johor. Terdapat PRN dan PRU15 serentak seperti Pahang, Perak dan Perlis.
Manakala Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Semabilan selepas PRU 15.
UMNO perlu bandingkan keputusan antara PN dan PRU 15 dalam menilai kekuatan mereka sebenar. Daripada dapatan itu, UMNO boleh melihat, apakah state base atau negeri kubu mereka masih banyak lagi kukuh.
Apakah keputusan PRN Melaka (20 November 2021) dan PRN Johor (12 Mac 2022) dapat dikekalkan semasa PRU 15 pada 19 November 2022?
Semuanya ini boleh menjawab permasalah UMNO masa kini. Apakah UMNO mampu bersendirian mempertahankan apa yang ada? Sekiranya jawapan adalah tidak. Rakan yang mana serta bagaimana perlu menjadi rakan kongsi?
Tentulah memilih rakan yang akan membawa laba. Rakan yang secara tidak langsung dapat membantu UMNO kembali menjadi parti yang disegani.
Malah kalau boleh, dapat mengembalikan UMNO ke persada kuasa. Parti yang memimpin negara sejak merdeka sebelum tersungkur pada PRU 14 (2018).
Di depan UMNO seolah-olah terdapat dua persimpangan. Iaitu Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Dua gabungan parti yang telah dirasai sekamar dan sedang merasainya.
Semasa bersama Perikatan Nasional, UMNO diberi kesempatan memimpin negara. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seorang Naib Presiden UMNO turut diterima menjadi Perdana Menteri kesembilan Malaysia bagi mewakili BN dan PN.
Umum melihat, Pas lebih berpengaruh daripada UMNO dalam mendapatkan sokongan serta undi dari Orang Melayu.
Tegasnya, PN lebih mendapat kepercayaan berbanding UMNO. Keputusan pilihan PRU15 dan PRN pada 23 Ogos 2023 dapat dijadikan ukuran.
Cuba lihat keputusan PRU 15 dan bandingkan kerusi yang dimenangi oleh UMNO-BN dengan Pas-PN.
PN yang dikepalai Pas telah memenangi sebanyak 74 kerusi. Pemain politik sedar kemenangan calon-calon Bersatu hasil daripada kekuatan jentera serta sokongan Pas.
Contoh terbaik adalah kemenangan calon Parlimen Bersatu di Rompin Pahang. UMNO hanya memenangi 20 kerusi Parlimen, manakala MCA (2) dan MIC satu kerusi. Menjadikan UMNO-BN hanya memperolehi 23 kerusi Parlimen.
UMNO-BN tidak memenangi sebarang kerusi di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Melaka.
Jumlah kerusi Parlimen di tujuh ini adalah 81 buah. Hampir separuh daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Semenanjung iaitu sebanyak 165 kerusi.
Pulau Pinang 13, Kedah 15, Kelantan 14, Terengganu 8, Selangor 22, Melaka 6 dan Perlis 3. Jelas begitu teruk prestasi UMNO dalam PRU 15.
Keputusan di negeri-negeri teras Melayu iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sangat mendukacitakan. Daripada 128 kerusi DUN iaitu Kelantan 45, Kedah 36, Terengganu 32 dan Perlis 15, UMNO-BN hanya menang dua kerusi di Kelantan.
Cuba pula dibandingkan prestasi antara UMNO-BN dengan Pas-PN di beberapa negeri lain terutama di Pantai Barat Semnanjung.
Di Perak, PN menang di 26 DUN, sedangkan UMNO menang tujuh dan MCA dua sahaja. Bermakna BN hanya menang sembilan dari 59 kerusi DUN.
Di Selangor, PN menang 22 DUN manakala UMNO hanya menang dua DUN. Bayangkan UMNO hanya mampu menang dua daripada 56 kerusi.
Di Pulau Pinang, PN menang 11, sedangkan UMNO hanya dua kerusi. Bermakna UMNO menang dua daripada 40 kerusi DUN. Di Pahang, Pas-PN seri dengan UMNO-BN masing-masing menang 17 kerusi daripada 42 DUN.
Gambaran daripada keputusan tersebut, jelas pengaruh Pas-PN mengatasi UMNO-BN. Inilah realiti yang wajib diterima oleh pemimpin serta pendudung UMNO.
Inilah kebenaran yang perlu ditelan oleh kepimpinan UMNO. Biarpun sepahit jadam, ianya perlu dikunyah lumat untuk ditelan supaya menjadi ubat yang mujarab.
Membunuh ibu segala penyakit denial syndrome atau sindrom penafian yang sering menjadi amalan kepada sebahagian pemimpin UMNO.
UMNO sudah tiada kubu negeri
Berdasarkan analisis keputusan PRU 15 dan PRN, jelas UMNO tiada lagi kubu negeri atau state base. Di Johor, BN-UMNO memang menang 40 DUN dari 56 pada PRN. Tapi keputusan PRN itu telah dinafikan oleh keputusan PRU 15, di mana UMNO hanya menang tujuh Parlimen dan MCA (2).
Bermakna BN hanya menang sembilan daripada 26 kerusi Parlimen. Semasa PRN Melaka, BN telah memenangi 21 daripada 28 DUN Melaka.
Begitupun, semasa PRU 15, UMNO kalah di semua kerusi Parlimen. Daripada keputusan tersebut menunjukkan Johor dan Melaka bukan lagi kubu negeri buat UMNO.
Pahang sebelum PRU masih dilihat sebagai kubu negeri UMNO-BN tetapi keputusan PRU 15, menunjukan sebaliknya.
Untuk DUN, UMNO-BN hanya menang di 17 dari 42 kerusi. Begitu juga dengan kedudukan kerusi Parlimen, UMNO hanya menang lima dari 14 Parlimen. Malah Pas-PN menang tujuh Parlimen mengatasi UMNO yang hanya lima.
UMNO hanya mempunyai kubu negeri di Negeri Sembilan. UMNO-BN menang lima kerusi Parlimen daripada lapan dan menang 14 kerusi daripada 36 kerusi DUN.
Inilah satu-satunya kubu negeri yang masih dimiliki oleh UMNO. Pahang pada realitinya tidak lagi bertaraf kubu negeri, biarpun MB dari wakil rakyat UMNO.
Berdasarkan kedudukan yang ada, nasib UMNO di dalam politik negara seperti pepatah seperti telur di hujung tanduk. Sekiranya, UMNO tidak membuat keputusan yang tepat lagi jitu, berkemungkinan UMNO akan senasib dengan Parti Kongres India.
Sebenarnya, dalam keadaan sekarang kedudukan serta pengaruh UMNO lebih teruk daripada Parti Kongres India.
UMNO dapatkan kuasa bersama Pas
Peluang untuk UMNO kembali memegang pancang kuasa negara ini sedang terbuka luas.
Rakyat terutama orang Melayu sudah muak kepada PH, terutama DAP. Mereka melihat DAP bersifat angkuh, biadap serta berlagak seperti 'big brother' dalam Kerajaan Madani.
Mereka secara kurang ajar, menegur, menempelak malah menjenamakan Ketua Pemuda UMNO dengan begitu menjijikkan.
Di samping itu, orang Melayu serta orang bukan Melayu sudah hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Majoriti merasa kecewa dengan janji-janji Anwar dan PH yang tidak ditunaikan.
Untuk apa UMNO mahu memikul kegagalan Anwar dan PH, yang akan merugikan UMNO dalam menghadapi PRU16 nanti?
Kerajaan campuran Madani terbentuk selepas PRU15. UMNO pergi solo dan tidak bersama PH menghadapi PRU 15. Maka itu adalah hak UMNO untuk menentukan masa depannya.
Lagipun, UMNO sudah bereksperimen bertanding ADUN bersama PH. Malah, apa yang terjadi, yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran.
UMNO menanggung rugi bila berkongsi tenaga menghadapi PRN di Pulau Pinang, Selangor dan lain-lain. UMNO hanya mampu menang dua kerusi di Selangor dan begitu juga dua kerusi di Pulau Pinang.
UMNO tidak rugi bersama Pas-PN. Sama ada menghadapi PRN Johor, Negeri Sembilan, Melaka atau menghadapi PRU16.
Sebaliknya UMNO akan mengutip laba yang besar terutama semasa PRU16 nanti. Gabungan tenaga UMNO-Pas di kawasan majoriti Melayu tidak mampu disaingi oleh mana-mana parti dalam PH.
Diyakini kesemua 116 kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu dari 60 hingga 99.9 peratus akan dibolot oleh UMNO-Pas. Inilah caranya untuk UMNO kembali memimpin dan bukan dipimpin.
Melalui cara ini UMNO-BN tidak perlu bertanding sehingga 178 kerusi dengan suatu perbelanjaan yang besar. Membuang duit yang banyak, sedangkan hasilnya sangat sedikit. Macam peribahasa - peluru habis, Palembang tak mati.
Pemimpin UMNO perlu menepis suara-suara nyamuk yang membawa kisah UMNO akan rugi sekiranya berpakat dengan Pas. Surah mereka adalah soal pembahagian kerusi.
Kononnya, UMNO tidak boleh bertanding sebanyak mungkin, seperti mana sebelum ini. Bertanding banyak tapi menangnya sedikit. Pada PRU15, UMNO-BN bertanding di 178 Parlimen tapi hanya menang 30 kerusi.
Penyakit mahu bertanding buat kepimpinan UMNO bahagian ini, bukanlah cerita baharu.
Hampir keseluruhan Ketua UMNO di semua peringkat di Kelantan mahu bertanding. Sejak Pas menguasai Kelantan pada 1990, kepimpinan mereka melaporkan ke UMNO Pusat menjelang pilihan raya umum, bahawa UMNO Kelantan mampu menawan kembali daripada Pas.
Difahamkan cerita itu berlarutan sehingga PRU15. Ada yang mengatakan, bertanding semasa PRU atau PRN buat UMNO adalah suatu perniagaan. Tahu sama tahulah maksudnya. Difahamkan ada unsur kelepet.
Penyakit mahu bertanding banyak dan yakin menang ini bukan semata-mata menjadi keinginan pemimpin di peringkat negeri serta bahagian.
Malah difahamkan Datuk Seri Mohamad Hassan, Pengarah Pilihan Raya UMNO pada PRU 15 mengatakan, UMNO-BN boleh menang melepasi 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Pesekutuan.
Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri, menyatakan dapatan dari agensi kerajaan, bahawa UMNO-BN hanya mampu menang sekitar 40 kerusi Parlimen.
Menyuarat MKT UMNO, pada malam tersebut terus menekan serta mendesak Ismail Sabri membubarkan parlimen bagi membentuk Kerajaan Persekutuan hanya dimiliki UMNO-BN.
Formula UMNO menjadi Perdana Menteri
Terdapat 86 kerusi majoriti Melayu di kawasan 70 hingga 99.9 peratus pengundi. Manakala kawasan 66 hingga 69 peratus, terdapat 10 kerusi. Dan terdapat 20 kerusi di Kawasan 60 hingga 65 pengundi Melayu. Manakala di kawasan 50 hingga 59 peratus Melayu terdapat 22 kerusi Parlimen.
Angka-angka di atas secara jelas menunjukkan bagaimana begitu mudah untuk UMNO-Pas membentuk Kerajaan Persekutuan, sekiranya mereka bergabung.
Apapun nama gabungan itu tidak penting. Yang terpenting UMNO-Pas berada di dalam satu pasukan menghadapi PRU 16. Kalau boleh, UMNO-Pas membuat eksperimen semasa PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Johor, Pas-PN memiliki tiga kerusi iaitu Bukit Kepong, Endau dan Maharani. Manakala Amanah, PKR dan Muda memiliki satu kerusi sahaja.
Saya percaya sekiranya UMNO Johor memberi Pas bertanding di kerusi yang dimiliki oleh ketiga-tiga parti tersebut, Pas akan menerimanya.
Bermakna Pas dapat pertambahan 100 peratus daripada tiga kerusi yang dimiliki.
Di Melaka, PN ada dua kerusi iaitu wakil Bersatu. Amanah menang satu kerusi. Jadi, berikan sahaja dua kerusi Bersatu dan satu kerusi Amanah kepada Pas.
Di Negeri Sembilan, UMNO menang 14 kerusi manakala Pas (2) dan Bersatu (3). Oleh itu Pas bertanding di lima kerusi milik PN dan diberi peluang kepada Pas untuk bertanding sebahagian dari kerusi PKR sebanyak enam kerusi.
Eksperimen ini penting sebagai persediaan PRU16.
Pembahagian awal adalah penumpuan kepada 116 kerusi yang majoriti 60 hingga 99.9 peratus pengundi Melayu. Kemudian diikuti dengan 22 kerusi majoriti 50 hinggan 59 peratus Melayu.
PRU 15, Pas menang 43 kerusi Parlimen. Bersatu menang 31. Begitupun, enam MP Bersatu telah memihak kepada PMX. Dan daripada 25 MP Bersatu telah berpecah kepada dua kumpulan, di mana enam MP kekal bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala 18 bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin - menjadikan team Hamzah seramai 19 MP.
UMNO menang 26, termasuk enam kerusi dari Sabah. MCA menang dua dan MIC satu kerusi. Bermakna di Semenanjung terdapat 23 kerusi BN.
Jadi Pas ada 43, Hamzah (Warisan Negara) 19 dan BN 23. Menjadikan jumlah ketiga-tiga parti ini adalah 85 kerusi. Formula yang mudah ialah, Pas bersedia memberikan kerusi Bersatu yang berpindah enam dan team Muhyiddin (enam) kepada UMNO.
BN yang memiliki 23 ditambah 12, menjadikan BN punyai 35 kerusi. Menjadikan keseluruhan ketiga-tiga parti ini ialah 97 kerusi.
Diandaikan kesemua 97 kerusi di atas dimenangi daripada kawasan majoriti Melayu 60 hingga 99.9 peratus. Jadi daripada 116 itu, hanya tinggal lagi 19 kerusi.
Daripada 19 itu, diberikan kepada BN 10, menjadikan BN memiliki 45. Daripada sembilan yang tinggal, diberi lapan kepada Pas menjadikan Pas punyai 51.
Warisan Negara (Hamzah) dapat satu, menjadikan 20 kerusi. Sekiranya UMNO dapat pertahankan kerusinya di Sabah sebanyak enam kerusi, maka UMNO juga akan punyai 51 buah.
Bagi 22 kerusi daripada 50 hingga 59 peratus pengundi Melayu, mungkin boleh diberi hampir sama banyak. Dua parti mendapat tujuh kerusi, hanya satu parti mendapat lapan kerusi. Mungkin Pas diberi lapan, manakala BN dan Warisan Negara mendapat tujuh setiap satu.
Biarpun UMNO-BN mempunyai kerusi hampir sama dengan Pas, tetapi UMNO punyai peluang yang besar untuk menjadi Perdana Menteri.
Kerusi Parlimen di Borneo terdapat 56, Sarawak punyai 31 dan Sabah sebanyak 25. Kepimpinan parti di Borneo lebih cenderung memberi sokongan kepada UMNO dan tidak kepada Pas.
Bertolak dari realiti ini, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu seberapa segera merapatkan hubungan dengan Pas. Jadikan Pas satu pasukan bersama UMNO semasa menghadapi PRU16 nanti.
Percayalah, sekiranya UMNO-Pas kembali bersama, sekurang-kurang 116 kerusi majoriti Melayu akan disapu bersih. Semua pemain politik yakin bahawa Perdana Menteri datangnya dari UMNO, bukan dari Pas atau sewaktu dengannya.
Ini adalah peluang pertama dan terakhir untuk Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri kesebelas. Peluang hanya datang sekali. Sambarlah ketika di depan mata.
Ahmad Zahid telah terbukti sebagai pemimpin UMNO yang punyai tiga ciri penting sebagai seorang pemimpin. Beliau boleh command, berani membuat keputusan dan bersedia menghadapi risiko. Kebolehan beliau telah terbukti secara jelas lagi nyata. Siapa pun tidak boleh menafikannya.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum PRU 15, Ahmad Zahid telah mengatakan, “No DAP. NO Anwar.”
Begitupun selepas PRU 15, beliau mengheret MP BN sertai Kerajaan Campuran di dalamnya ada DAP serta menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.
Semua suara-suara UMNO yang mengkritiknya, dapat diatasi dengan mudah. Ahmad Zahid mampu mengawal UMNO dan BN serta mengekang penentangnya.
Sekali lagi Ahmad Zahid boleh menjalankan eksperimennya untuk mendekatkan UMNO kepada Pas.
Beliau mampu menyatukan tenaga Melayu di dalam Pas dan UMNO, sekiranya beliau mahu. Terserah kepada beliau menentukannya. Suara serta kiasan daripada Pas menjemput UMNO begitu jelas lagi nyata.
Demi kepentingan Melayu serta mengembalikan UMNO ke pusat kuasa, Ahmad Zahid sudah tiada pilihan. Ini adalah suatu tanggungjawab serta amanah bangsa dan UMNO yang perlu dilaksanakan oleh beliau. Tiada sebarang alasan yang beliau boleh berikan untuk menolaknya.
Asyraf Wajdi serta Mohamad Hassan tidak mampu lagi membuat nakal. Tentunya mereka serik dengan kegagalan yang lepas.
Semua pemimpin UMNO masih ingat, selepas Ahmad Zahid menghadapi dua kes dengan 87 pertuduhan. Masa itu, beliau menjadi Presiden UMNO, Mohamad Hassan sebagai Timbalan, manakala Asyraf Wajdi sebagai Ketua Pemuda. Mohamad Hassan bercita-cita untuk naik ke atas.
Asraf Wajdi menggesa serta mendesak Ahmad Zahid melepaskan jawatan. Beliau menggunakan tenaga Pemuda UMNO. Gerakan awalnya mendapat sambutan dari Ketua Bahagian UMNO.
Melihat perkembangan itu, mendorong Mohamad Hassan ikut serta gerakan Pemuda UMNO menumpir Ahmad Zahid.
Keadaan ini menyebabkan Ismail Sabri, yang menjadi Naib Presiden UMNO ketika itu mengembelingkan tenaga pasukannya. Beliau bersama pasukannya bergerak pantas menghubungi serta mempengaruhi Ketua-ketua Bahagian UMNO yang lain.
Akhirnya tindakan serta kemaraan Asyraf Wajdi bersama Mohamad Hassan tersekat. Mereka hanya mampu mempengaruhi 87 bahagian sahaja.
Selepas itu Asyraf Wajdi serta Mohamad Hassan membuat pusingan U. Mereka pun berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kepercayaan serta keyakinan Ahmad Zahid.
Sebagai kesimpulannya, nyawa serta maruah UMNO bergantung kepada keputusan Ahmad Zahid.
Pancang kuasa negara akan kembali kepada Melayu juga berada di tangan beliau. UMNO akan bebas dari terus dibuli oleh DAP semasa dalam Madani terserah kepada Ahmad Zahid.
Wakil UMNO akan kembali menjadi Perdana Menteri berada dalam penentuan beliau. Jawatan Perdana Menteri kesebelas boleh menjadi milik Ahmad Zahid. Bukan milik Anwar.
Tepuk dada tanya rasa.
*Dr Kamarazaman Yacob ialah penganalisis politik yang kerap menyumbangkan pandangan di pelbagai media massa.






