
KUALA LUMPUR: Penyertaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan merupakan antara isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno dalam ucapan dasar mereka pada perhimpunan agung sayap-sayap parti itu, hari ini.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno pada 23 Nov lepas wajar disokong sepenuhnya.
Asyraf Wajdi berkata pendirian tersebut bukan sahaja diambil bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan kestabilan, tetapi turut mengambil kira kepentingan Umno sebagai parti yang sentiasa mendakap konsep perkongsian kuasa dengan pelbagai kaum.
“Kita tidak harus berterusan rasa gundah-gulana, rasa kecewa hingga hilang arah dan berputus asa. Kita harus sedar dan insaf, walaupun dengan segala kebobrokan dan kepincangan, Allah masih memberi peluang kedua kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Datuk Zahida Zarik Khan berkata menjadi parti penentu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang terbina kini merupakan ubat yang menjadi penawar selepas Umno mencatat keputusan merosot pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.
Beliau berkata keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah realiti politik yang perlu dihadapi kerana Umno tidak mahu berada di luar kerajaan dan membiarkan negara terus bergolak sekali gus menambah kebencian rakyat terhadap parti.
“Atas alasan itu kita telah menerima keputusan untuk bersama dengan parti yang mendapat jumlah kerusi yang paling banyak dalam PRU15 di atas nama Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Bagi Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, walaupun Umno dan BN menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun Umno perlu kekal mendasari inti pati perjuangannya tetapi dengan strategi serta pendekatan yang berbeza.
Selain itu, Ahli Parlimen Parit Sulong tersebut juga berkata kedudukan UMNO dalam kerajaan perlu dijelaskan kepada akar umbi. -Bernama
