Umno sambut ulang tahun ke-78 dengan solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat

Politics
11 May 2024 • 9:07 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Majlis ulang tahun Umno ke-78 yang dihadiri pemimpin kanan dan anggota parti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini berlangsung dalam suasana suram.

Ini merupakan tahun kedua majlis tersebut diadakan tanpa kelibat bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Tiada lautan merah seperti tahun-tahun sebelumnya dan dianggarkan kira-kira 1,000 hadir pada majlis tersebut.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Dewan Hussein Onn pada jam 6.45 petang.

Beliau turut diringi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir Ahli MKT Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi dan Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

image is not available
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan kepimpinan parti itu mengadakan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat hajat untuk bekas Presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak, bacaan Yasin dan doa selamat. - Alif Omar/Scoop, 11 Mei, 2024

Majlis bermula pada jam 7 malam itu dimulai dengan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti solat hajat untuk Najib yang dikenali sebagai ‘Bossku’, bacaan Yasin dan doa selamat.

Seusai majlis doa selamat, Zahid menyampaikan amanat ringkasnya menceritakan mengenai perjuangan Umno sejak awal penubuhannya.

Majlis itu kemudian disusuli dengan solat Isyak secara berjemaah dan jamuan makan malam sebelum bersurai.

Umno, antara parti politik yang ditubuhkan sebelum merdeka iaitu ketika era nasionalisme menuntut kemerdekaan Tanah Melayu sekitar penghujung tahun 1940-an serta penolakan rancangan British untuk menubuhkan Malayan Union. - 11 Mei, 2024