UMNO Sedia Pertimbang Terima Semula Bekas Ahli Yang Disingkirkan – Jalaluddin

Politics
26 May 2024 • 8:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahli MKT UMNO Jalaluddin Alias. – Gambar fail BERNAMA

JELEBU – UMNO sedia pertimbang untuk menerima semula pemimpin dan ahlinya yang disingkirkan sewaktu proses pemutihan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata mereka yang telah disingkirkan tetapi masih menunjukkan kesetiaan dan berminat untuk menyertai semula parti akan diberi peluang kedua.

Menurut beliau, di Negeri Sembilan, Setiausaha UMNO negeri dan bahagian sudah diarah membuat tapisan setiap permohonan yang dibuat bagi memastikan mereka yang masih mempunyai kecenderungan dan kesetiaan kepada parti diambil semula sebagai ahli.

"Proses pemutihan dilakukan parti sebelum ini bertujuan membersihkan parti daripada mereka yang tidak berminat lagi dengan UMNO dan beranggapan parti itu akan menjadi lemah," katanya seperti dipetik New Straits Times selepas merasmikan Persidangan UMNO cawangan Amar Penghulu di Dewan Budaya Kampung Amar Penghulu di Jelebu semalam.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan seterusnya berkata, proses pemutihan tidak menggugat kekuatan dan kestabilan UMNO kerana cawangan parti di seluruh negeri itu berjaya menjalankan mesyuarat cawangan mengikut jadual.

"Malah ada bahagian seperti di Jelebu yang menyaksikan pembukaan cawangan baharu, sekali gus menambah jumlah ahli UMNO.

"UMNO sudah melalui pelbagai dugaan dan cabaran dan dilanda pelbagai masalah tetapi keistimewaan parti ini apabila dilanda masalah ia mempunyai kaedah tertentu mengatasinya," katanya.

Beliau juga berkata usaha bagi mengukuhkan parti, pembangunan dan kerajaan adalah antara usul paling banyak diterima daripada cawangan UMNO yang sudah bermesyuarat.

Sejak awal 2022, MKT Umno telah memecat beberapa pemimpin tertinggi parti termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno Isham Jalil.

Parti itu juga menggantung keahlian Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun. – The Vibes, 26 Mei, 2024.