UMNO Selangor Serah Senarai Calon Dalam Masa Terdekat - Noh

Politics
10 Oct 2022 • 9:06 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Noh Omar - Gambar fail

TANJUNG KARANG - UMNO Selangor akan menyerahkan senarai nama 22 calon bahagian parti itu yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kepada pimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat. 

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, senarai itu melibatkan lima calon bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Sesetengah bahagian juga akan melibatkan enam calon termasuk penyandang kerusi sedia ada,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP), di sini semalam.

Sementara itu, Noh berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan UMNO bergerak secara solo atau sebaliknya.

"Kita sentiasa akur dengan arahan pucuk pimpinan, kini hanya menunggu keputusan penuh pimpinan parti dalam menentukannya,” katanya. 

Noh berkata, pihaknya akan melancarkan jentera di peringkat Bahagian dan Cawangan negeri itu tidak lama lagi. 

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Perhubungan Negeri akan mengemukakan nama calon kepada pimpinan 'Top 5' bagi penentuan calon UMNO, bermula Isnin depan.

'Top 5' merujuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, calon pilihan parti itu perlu mempunyai kriteria WALI iaitu boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable). - Bernama