KUALA LUMPUR - UMNO menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya dijadualkan berlangsung tahun ini selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mengesahkan perkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan, keputusan sama ada dua jawatan tertinggi akan dipertandingkan atau sebaliknya juga diputuskan kemudian.
"Kita tunggu (laksanakan pemilihan) selepas pilihan raya. Kita ada tempoh 18 bulan.
"Perlembagaan UMNO telah dipinda iaitu selepas 18 bulan daripada tarikh akhir tahun pemilihan atau selepas pilihan raya (umum). Mana-mana yang dulu," katanya ketika ditemui selepas hadir Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) sempena Penganjuran Ekspo Agrikomoditi Women in Halal Industri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.
Sebelum ini segelintir pemimpin UMNO peringkat cawangan mengesyorkan supaya pemilihan UMNO 2026 tidak ditangguhkan.
Selain itu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri pernah menyatakan beliau terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026.
Bagaimanapun beliau berkata, UMNO perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu berbanding memikirkan soal pemilihan dan jawatan tertinggi parti.
