
PETALING JAYA: UMNO terbuka untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) namun tidak akan menggunakan semula nama Muafakat Nasional (MN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu perlu berlandaskan semangat persefahaman, keikhlasan dan perpaduan bagi memastikan pengalaman lalu tidak berulang.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata, perbincangan rasmi masih terlalu awal untuk diadakan meskipun perbincangan secara tidak formal sudah berlangsung di peringkat kepimpinan dan sekretariat kedua-dua parti.
“UMNO menghargai pandangan serta pendirian Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) berhubung kemungkinan pembentukan kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua parti.
“Pada hemat saya, kita harus memandang ke hadapan secara positif dan kita akan mendasarkan kerjasama ini dalam bentuk perpaduan berlandaskan kepada keikhlasan
“Untuk secara rasmi, terlalu awal untuk mengadakan perbincangan secara rasmi, walaupun perbincangan-perbincangan secara tidak formal itu telah dilakukan di peringkat kepimpinan dan sekretariat,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan rasmi di Tangerang, Indonesia hari ini.
Menurutnya, nama MN tidak akan digunakan bagi mengelakkan pengalaman lalu berulang selepas nama yang diperakukan melalui perjanjian terdahulu didakwa telah diciplak dan dijadikan sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Supaya pengalaman lalu itu tidak berulang, tentunya kita tidak akan menggunakan nama itu kerana nama yang telah diperakukan melalui perjanjian yang lalu itu telah diciplak oleh seseorang dan dijadikan sebagai sebuah badan NGO.
“Kita tentunya tidak berniat untuk menggunakan badan NGO itu sebagai sebuah organisasi politik,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, prinsip tahaluf siyasi yang dilaksanakan selama ini dalam pilihan raya di tiga negeri perlu diteliti bagi memperincikan bentuk kerjasama menjelang PRU16.
Katanya, semangat persefahaman itu juga perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam perkara berkaitan perincian, malah kerjasama di negeri-negeri SG4 serta lima negeri di bawah pentadbiran BN iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Perak.
“Kita mahu apa yang telah berlaku pada pilihan raya umum yang lalu tidak berlaku lagi, sebagaimana yang diharapkan oleh Presiden Pas,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan berkata, Pas yakin penyatuan Melayu dengan UMNO akan menjadi gabungan politik yang kuat dalam berdepan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini.
Katanya, gabungan ini turut diyakini tidak akan ‘terkubur’ sebagaimana kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) melalui Muafakat Nasional (MN).- UTUSAN
The post UMNO terbuka kerjasama dengan Pas, tidak guna semula nama Muafakat Nasional appeared first on Utusan Malaysia.






