Umno tidak berduka pemergian Zafrul, sedia melangkah ke hadapan: Ketua Penerangan Kedah

LocalPolitics
1 Jun 2025 • 12:51 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Umno tidak meratapi keputusan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan parti, sebaliknya menegaskan kesediaan untuk terus bergerak ke hadapan dengan barisan yang setia.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, menjaga kesetiaan dalam kalangan anggota Kerajaan Perpaduan adalah penting bagi memelihara keharmonian dan semangat kerjasama yang telah lama dibina, justeru budaya keluar parti tidak wajar digalakkan.

“Saya ingin tegaskan bahawa ini bukan soal meratapi kehilangan, Umno tidak berduka dengan keputusan Datuk Seri Tengku Zafrul. Malah, kita bersedia untuk terus bergerak ke hadapan dengan saf yang lebih jujur dan setia,” katanya kepada Scoop. 

Menurut Shaiful, kejanggalan drama seumpama ini wajar dihentikan demi kelangsungan sebuah kerjasama politik yang stabil dan ikhlas. 

Beliau turut mempersoalkan sikap pimpinan PKR yang dilihat terbuka dan “beria-ia” meraikan penyertaan Zafrul, walaupun ia boleh menjejaskan persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan. 

“Jika budaya seperti ini diteruskan, ia hanya akan mencemarkan keharmonian yang telah sekian lama diusahakan dalam kerajaan perpaduan,” katanya. 

Shaiful menegaskan, semua pihak dalam gabungan perlu menjaga adab dan sensitiviti antara satu sama lain. 

“Sebagai parti yang berada dalam kerajaan perpaduan, sepatutnya PKR menjadi contoh kepada budaya adab bekerjasama. 

“Siri kenyataan daripada tokoh-tokoh PKR seolah-olah memberi mesej terus ke muka Umno bahawa adab dalam bekerjasama itu tidak penting... dan bahawa langkah-langkah politik boleh diatur tanpa mengambil kira sensitiviti rakan kongsi utama dalam Kerajaan Perpaduan. 

“Umno bersedia bekerjasama, tetapi bukan menjadi bahan mainan dalam skrip politik pihak lain,” katanya. 

Terdahulu, Zafrul menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memutuskan kedudukan beliau dalam Kabinet selepas mengumumkan keluar daripada Umno dan menyatakan hasrat menyertai PKR. 

Beliau berkata keputusan itu dibuat secara sukarela tanpa tekanan mana-mana pihak. 

“Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam. Ia sepenuhnya pilihan saya sendiri dan saya menghargai mereka yang menghormati hak saya untuk menentukan hala tuju politik saya,” katanya. 

Zafrul berkata beliau telah memaklumkan hasrat menyertai PKR kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Fuziah Salleh. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan-rakan parti atas sokongan mereka selama ini. – 1 Jun, 2025