UMNO tidak terkait penemuan wang tunai RM170 juta - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
6 Mar 2025 • 1:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - UMNO menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berpendirian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberikan ruang menjalankan siasatan secara telus, bebas dan adil tanpa sebarang gangguan.

"UMNO memandang serius sebarang cubaan mengaitkan parti ini dengan siasatan SPRM berhubung isu tersebut.

"Dalam masa sama, parti tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh atau mencipta persepsi UMNO mempunyai hubungan dengan kes sedang disiasat," ujarnya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, SPRM akan merekod keterangan kali kedua Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di sebuah 'safe house' yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Kesembilan itu.

Bagaimanapun, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, proses rakaman percakapan Ahli Parlimen Bera dijadualkan pada Rabu ditangguhkan pada Jumaat.

Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).