
Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan terus memperkasa dan mempertingkatkan penghasilan kajian serta penyelidikan berkualiti.
Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Ir Dr Rosalam Sarbatly, universiti itu komited dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti dan menghasilkan harta intelek bermutu tinggi melalui penyelidikan.
“Dengan penyelidikan dan inovasi, UMS ingin sentiasa menjayakan aspirasi negara untuk tampil sebagai sebuah universiti yang tidak hanya berperanan sebagai pusat yang melahirkan modal insan berkualiti, bahkan menghasilkan harta intelek juga.
“Penyelidikan dan inovasi yang dijalankan oleh penyelidik dan pengkaji dari UMS akan sentiasa kita usahakan agar menjadi satu hasil yang memberi impak positif kepada bidang ilmu dan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Majlis
Pertukaran Dokumen Perjanjian Perundingan antara UMS dan Institut Kajian Pembangunan (IDS Sabah) serta Majlis Apresiasi Pemenang Malaysia Technology Expo (MTE) di sini, pada Jumaat.
“Projek ini diketuai oleh Prof Madya Dr Oliver Valentine Eboy untuk tempoh bermula 1 Mac tahun ini sehingga 31 Januari 2024.
“Projek ini melibatkan kos sebanyak RM49,887 dan akan memfokuskan kepada kajian kebudayaan, warisan berkaitan pemetaan dengan menggunakan teknik GIS,” katanya.
Selain itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada penyelidik UMS yang telah memenangi sembilan pingat dan satu anugerah dalam pertandingan MTE.
“Kita dari UMS memperoleh kemenangan 100 peratus bagi semua penyertaan.
“Kesemuanya membabitkan 500 produk inovasi daripada 15 negara dan kita merangkul tiga pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa bagi kategori Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA).
“Semoga dengan kemenangan ini kita akan dapat menyuntik lebih semangat dan mendorong para peserta penyelidik bagi menghasilkan karya penyelidikan inovasi yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Pusar Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan Prof Madya Dr Jidon @ Adrian Janaun, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Prof Dr Jumat Sulaiman dan Ketua Pengawai Penyelidikan IDS Sabah Richard Koh.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
