UMT, PKT Logistics meterai MoU bagi tingkatkan kerjasama ke tahap lebih strategik

8 Jun 2023 • 5:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UMT, PKT Logistics meterai MoU bagi tingkatkan kerjasama ke tahap lebih strategik

zulfadli

08/06/2023 - 17:42

KUALA LUMPUR 8 Jun - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan PKT Logistics Group Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama di antara institusi akademik dan industri ke tahap yang lebih strategik.

PKT Logistics dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerjasama dalam pelbagai bidang itu, termasuk latihan kepada pelajar dan staf, penyelidikan, akademik, pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000.

Katanya, ia termasuklah kerjasama dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) 'Smart Logistician 2023' dengan kos yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebanyak RM460,000.

"Program tersebut melibatkan seramai 100 pelajar Fakulti Pengajian Maritim (FPM) dan UMT.

"Ia meliputi pelaksanaan modul-modul latihan berkaitan dengan industri logistik serta penggunaan teknologi internet kebendaan (IoT) di dalam operasi gudang yang akan dijalankan selama 15 hari bertempat di The Ship Campus, Pulau Pinang.

"Setelah tamat latihan ini, kesemua pelajar akan ditawarkan bekerja di PKT Logistics di pelbagai lokasi gudang termasuklah Shah Alam, Pulau Pinang dan Kulim," katanya.

Terdahulu, MoU itu dimeterai oleh Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar dan Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics, Datuk Seri Dr Michael Tio sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23), baru-baru ini.

Menurut PKT Logistics, pihaknya juga menawarkan anugerah kepada pelajar berbentuk wang tunai yang mana tiga pelajar UMT akan dianugerahkan 'PKT Excellence Award' bagi setiap seorang.

Selain itu katanya, syarikat juga menawarkan fasiliti bagi penganjuran program pelajar melibatkan penggunaan fasiliti moden di The Ship Campus, termasuk asrama, bilik serta dewan kuliah, perpustakaan dan lain-lain lagi.

"Dengan kepakaran yang dimiliki UMT dalam bidang perkapalan dan operasi logistik, para penyelidik UMT berupaya untuk menjalankan kajian dalam meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus dan operasi syarikat-syarikat logistik di Malaysia," katanya.

Tambahnya, UMT dan PKT Logistics juga bakal memulakan kajian strategik dalam menjadikan Malaysia sebagai hub logistik utama di ASEAN. - DagangNews.com