UMT teruskan tuisyen percuma 'Asnaf to Asnaf'

LocalFamily & Parenting
16 Mar 2025 • 1:17 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Sebahagian peserta yang mengikuti program tuisyen percuma 'Asnaf to Asnaf' yang dibiayai Etiqa Family Takaful Berhad.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan program tuisyen percuma 'Asnaf to Asnaf' (A to A) bagi membantu 325 pelajar tahun ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, program berkenaan membabitkan peruntukan RM365,400 yang dibiayai Etiqa Family Takaful Berhad.

"Program memasuki tahun keempat ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan asnaf mendapatkan bimbingan secara percuma daripada mahasiswa UMT yang bertugas sebagai tenaga pengajar," katanya dalam kenyataan.

Bermula tahun ini, katanya, program berkenaan dijenama semula sebagai Tuisyen Komuniti Etiqa hasil kerjasama antara UMT dan Etiqa Family Takaful Berhad.

image is not available

"Kami komited meneruskan program ini bagi membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bimbingan akademik tambahan tetapi kurang berkemampuan," katanya.

Mohd Zamri berkata, sejak diperkenalkan, program itu memberi manfaat kepada 1,630 pelajar dan membabitkan 405 mahasiswa sebagai tenaga pengajar sepanjang tiga tahun penganjurannya.

Katanya, sagu hati yang diberi kepada mahasiswa terbabit turut membantu mereka dalam menampung perbelanjaan harian di kampus.

image is not available

"Mahasiswa yang dipilih sebagai tenaga pengajar juga adalah daripada golongan asnaf. Ini antara inisiatif UMT membantu pelajar kurang berkemampuan menangani kos sara hidup," katanya.

Beliau berkata, UMT dan Etiqa Family Takaful akan memperkukuh kerjasama pada 2025 melalui projek Etiqa Wakaf Boardwalk, yang memfokuskan kepada pemuliharaan biodiversiti serta konservasi alam sekitar. – Bernama

image is not available

View Original Article