Umur 60 belum ‘tua’, Azalina cadang kerajaan nilai semula umur persaraan ke 65 tahun

LocalPolitics
20 May 2025 • 9:38 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar kerajaan mempertimbang untuk menaikkan had umur persaraan wajib kepada 65 tahun.

Menurut beliau, ia hanya pandangan peribadi, tetapi wajar diberi perhatian berdasarkan realiti semasa rakyat Malaysia yang semakin sihat dan aktif walaupun berusia 60 tahun ke atas.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, ramai warga emas hari ini masih berdaya saing dan mempunyai pengalaman berharga yang tidak seharusnya disia-siakan hanya kerana faktor umur.

“Umur 60 sekarang pun ramai masih nampak muda dan bertenaga”

Masyarakat kini katanya, perlu mengubah persepsi terhadap usia 60 tahun kerana ramai yang masih sihat secara fizikal dan mental. Malah, di beberapa negara luar, umur persaraan ditetapkan sehingga 65 atau 70 tahun, terutamanya bagi hakim.

Tambahnya, di Malaysia sendiri, hakim masih boleh berkhidmat sehingga umur 65 tahun. Jadi tidak mustahil dasar serupa boleh dipertimbangkan untuk sektor lain.

Kerajaan pernah naikkan had umur pada 2012, kini tiba masa untuk semak semula?

Untuk makluman, umur persaraan wajib penjawat awam dinaikkan kepada 60 tahun sejak 1 Januari 2012. Namun sejak itu, belum ada semakan semula walaupun jangka hayat dan tahap kesihatan rakyat menunjukkan peningkatan.

Azalina berkongsi cadangan ini ketika menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 dan Jasamu Dikenang Tahun 2025. Beliau berharap idea ini dapat dipertimbang secara serius oleh pihak kerajaan.

Sumber: Buletin TV3