UNAIDS puji Thailand ambil langkah penting tamatkan epidemik HIV

WorldHealth & Fitness
13 Dec 2022 • 7:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BANGKOK: Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) memuji Thailand kerana mengambil langkah penting ke arah menamatkan wabak HIV di negara itu.

Pengarah Pasukan Sokongan Serantau UNAIDS untuk Asia dan Pasifik Taoufik Bakkali berkata Thailand menjadi contoh kepada dunia dalam menterjemahkan kehendak politik kepada tindakan.

“Kami berterima kasih kepada Thailand atas tindak balas AIDS global,“ katanya dalam satu kenyataan.

UNAIDS memaklumkan terdapat 520,000 penghidap HIV di Thailand pada 2021.

Thailand telah mencapai kemajuan besar membabitkan AIDS, terutama usahanya dalam menyediakan ujian dan rawatan yang menyelamatkan nyawa kepada penghidap HIV bagi menamatkan AIDS menjelang 2030, menurut UNAIDS.

Thailand menjadi negara pertama di rantau ini yang disahkan berjaya membendung penularan HIV ibu kepada anak pada 2016.

Negara gajah putih itu telah menyertai Perkongsian Global untuk Menghapuskan Semua Bentuk Stigma dan Diskriminasi berkaitan HIV.

“Sejak 2010, kematian berkaitan AIDS menurun hampir dua pertiga (65 peratus) manakala jangkitan baharu turut mencatatkan penurunan sebanyak 58 peratus.

“Tahun lalu dianggarkan 94 peratus penghidap HIV di Thailand mengetahui status mereka manakala 91 peratus orang yang didiagnosis sedang menjalani rawatan dan 97 peratus daripada mereka yang menjalani rawatan mencapai ‘viral suppression’,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah UNAIDS untuk Thailand, Patchara Benjarattanaporn berkata Thailand berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran ujian dan rawatan melebihi 95 peratus menjelang 2025.

“Untuk menjayakan misi berkenaan, Thailand perlu mengesan mereka yang masih belum mendapat akses kepada perkhidmatan pencegahan, ujian, rawatan dan penjagaan HIV.

Keutamaan bagi Thailand adalah agar rakyatnya diagnosis lebih awal dan seterusnya mengurangkan jangkitan baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekitar 6500 jangkitan HIV baharu direkodkan di Thailand pada 2021. Secara kritikal, separuh daripada jangkitan baharu itu dilaporkan berlaku dalam kalangan golongan muda berumur antara 15 dan 24, kebanyakannya berada dalam kelompok komuniti utama.

Patchara berkata Thailand menyediakan perkhidmatan HIV yang sangat baik namun ramai golongan muda tidak mendapat maklumat mengenai pencegahan, perkhidmatan dan sokongan.

“Sesetengah orang yang hidup dengan HIV dan menghidap penyakit menyedari status mereka pada usia sudah lanjut.

“Kita juga perlu menangani ketidaksamaan dalam akses kepada maklumat, perkhidmatan dan sokongan serta terus berinovasi dan meningkatkan pendekatan menerusi program komuniti yang berkesan.

“Melalui tindakan berani untuk menangani prejudis, kita boleh menamatkan AIDS menjelang 2030,“ katanya.

Thailand menganjurkan mesyuarat ke-51 Lembaga Penyelaras Program (PCB)UNAIDS di Chiang Mai bermula Selasa hingga Jumaat (13-16 Dis).

Selaku tuan rumah bagi mesyuarat itu, pengerusi PCB tahun ini membantu mengekalkan momentum di rantau Asia Pasifik untuk memenuhi komitmen negara dalam deklarasi politik 2021 mengenai HIV.

UNAIDS PCB turut menyediakan pengawasan dan hala tuju strategik untuk Program Bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai HIV dan AIDS, termasuk membimbing dan menyokong tindak balas HIV secara global.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Traisuree Taisaranakul dalam satu kenyataan berkata selaku tuan rumah, Thailand mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsi menerusi tindak balas AIDS dengan wakil 22 negara anggota UNAIDS yang lain, agensi sokongan, masyarakat sivil, dan NGO, serta organisasi berkaitan HIV dari seluruh dunia yang menghadiri mesyuarat berkenaan.-Bernama

View Original Article