Uncle Mike bukti kasih sayang rentasi kaum, agama

LocalFamily & Parenting
21 Aug 2026 • 2:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Uncle Mike bukti kasih sayang rentasi kaum, agama

PETALING JAYA, 20 OGOS: Tiada pertalian darah, berbeza kaum dan agama, namun semua itu tidak pernah menjadi penghalang bagi Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike mencurahkan kasih sayang kepada tiga anak angkatnya, Rafie, Rasyid dan Rahman.

Bagi Uncle Mike, menerima mereka sebagai anak bermakna memikul tanggungjawab sebagai bapa untuk memastikan ketiga-tiganya mendapat perhatian, kasih sayang dan pendidikan sewajarnya.

“Saya ialah ibu dan bapa kepada anak-anak saya,” katanya ketika berkongsi kisah membesarkan tiga beradik Melayu beragama Islam itu.

Segalanya bermula selepas Uncle Mike mengambil Rafie sebagai anak angkat.

Sepucuk surat yang ditemui dalam kotak pensel Rafie kemudian membuka kisah bahawa anak angkatnya itu mempunyai adik-beradik, sekali gus mendorong beliau mencari mereka.

Pencarian itu menemukan beliau dengan Rasyid dan Rahman, sebelum ketiga-tiga beradik berkenaan akhirnya dibesarkan bersama sebagai sebuah keluarga.

Image from: Uncle Mike bukti kasih sayang rentasi kaum, agama
Uncle Mike berkongsi kisah hidup beliau pada sidang media Yayasan OrphanCare pada 20 Ogos 2026.

Uncle Mike yang bukan berasal daripada keluarga berada dan pernah merasai kesusahan hidup berkata pengalaman tersebut membuatkannya memahami perasaan mereka yang memerlukan tempat bergantung.

Beliau bersyukur urusan mengambil ketiga-tiga mereka sebagai anak angkat dipermudahkan dan percaya setiap perjalanan hidup sudah ditetapkan Tuhan.

Menggalas tanggungjawab membesarkan tiga anak seorang diri bukan sesuatu yang mudah, namun perbezaan agama tidak menghalangnya daripada memastikan Rafie, Rasyid dan Rahman mendapat didikan Islam.

“Bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama Islam, saya turut memanggil ustaz ke rumah untuk mengajar mereka mengenai agama,” katanya.

Bagi Uncle Mike, setiap kanak-kanak mempunyai kehendak, emosi dan keperluan tersendiri serta memerlukan perhatian dan kasih sayang secukupnya.

Kisah kehidupan mereka kemudian mendapat perhatian masyarakat dan diangkat menerusi filem ‘Abah Saya Uncle Mike’.

Pengalamannya membesarkan tiga beradik itu turut membawa kepada pemilihan Uncle Mike sebagai ‘Friend of OrphanCare’ pertama, satu inisiatif Yayasan OrphanCare dalam memperjuangkan perlindungan kanak-kanak dan penjagaan berasaskan keluarga.

“Visi saya dan OrphanCare adalah sama iaitu penjagaan berasaskan keluarga,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved