Undang Negeri Sembilan bantah bubar DUN, dakwa langgar peruntukan undang-undang

LocalPolitics
5 Jun 2026 • 6:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Undang Negeri Sembilan bantah bubar DUN, dakwa langgar peruntukan undang-undang
Undang Negeri Sembilan

SHAH ALAM - Undang dan pemimpin adat Negeri Sembilan membuat bantahan rasmi terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun malam tadi.

Dalam surat yang dihantar melalui peguam kepada speaker dewan, MK Ibrahim Abd Rahman, mereka berkata keputusan itu dibuat tanpa sebarang persetujuan yang dimohon dari pemimpin adat sebagai pemerintah bersama negeri.

Mereka mendakwa perkara ini jelas satu pelanggaran nyata terhadap peruntukan- peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, termasuklah Fasal 56(2), Fasal 38(4), Fasal 28(1) & (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

"Oleh itu, sekiranya pembubaran DUN diteruskan ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk keabsahan keputusan pilihan raya dan sebagainya.

"Berdasarkan perkara diatas, anak-anak guam kami percaya Tuan Yang di-Pertua (speaker) akan menghormati kedaulatan undang-undang serta prinsip perlembagaan yang melindungi kedaulatan Negeri Sembilan dan langkah pembetulan yang tegas dan wajar diambil pada kadar segera,"kata surat firma guaman Deidra Sharina & Co.

Firma itu mewakili Undang Luak Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau, Tunku Besar Tampin, serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong.

Sebelum ini, media melaporkan Negeri Sembilan menyaksikan pertikaian diraja semakin meruncing antara Undang dan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ia telah menyebabkan Undang mengambil keputusan untuk 'memecat' Tuanku Muhriz pada bulan April dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Kecoh, pembesar adat persoal tidak dibenar masuk Balai Kediaman Tunku Besar Tampin untuk Sidang Khas DKU

 

Walau bagaimanapun, eksekutif negeri enggan mengiktiraf pendirian yang diambil oleh Undang.

Badan perundangan negeri akhirnya terjerumus ke dalam kemelut apabila Undang memboikot majlis perasmiannya pada 23 April, menyebabkan persidangan ditangguhkan.

Aminuddin ketika mengumumkan pembubaran dewan malam tadi berkata dia telah menerima perkenan Tuanku Muhriz, tetapi mengelak soalan daripada media sama ada dia telah berunding dengan Undang.