
SHAH ALAM: Kelulusan terhadap undang-undang berkaitan hal ehwal Islam di negeri ini harus digubal dengan meletakkan sempadan kuasa yang jelas, mekanisme akauntabiliti yang kukuh dan mampu memberi keadilan serta keyakinan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kekuatan sesuatu institusi tidak hanya diukur melalui keluasan kuasa yang diberikan kepadanya.
“Atas prinsip itulah setiap cadangan yang saya kemukakan sepanjang perbahasan bertujuan memperkukuhkan lagi Rang Undang-Undang yang dibentangkan, bukannya melemahkannya.
“Ketiga-tiga Rang Undang-Undang (RUU) (yang diluluskan itu) merupakan reformasi penting yang bakal membentuk landskap pentadbiran agama Islam dan institusi kehakiman Syariah di Selangor untuk tahun-tahun mendatang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, tiga Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan hal ehwal Islam dan Mahkamah Syariah di Selangor dilapor diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui pungutan suara yang dilakukan.
Ia melibatkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor (UUTKS) 1959 bagi mengasingkan kuasa Mahkamah Syariah serta memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang mendapat sokongan lebih dua pertiga iaitu 52 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.
Nurul Syazwani yang juga seorang pengamal undang-undang menyambut baik pindaan-pindaan dilakukan selain turut berbahas dengan mencadangkan pengunaan bahasa dan tafsiran yang jelas, memperkukuh institusi bailif serta mekanisme semak dan imbang mencukupi.
“Saya percaya undang-undang yang baik bukan sekadar memperluaskan kuasa sesuatu institusi, malah turut menetapkan had kuasa, mekanisme semak dan imbang serta perlindungan terhadap hak rakyat.
“Sebagai ADUN pembangkang, pendirian saya sentiasa konsisten. Saya akan terus menyokong setiap usaha yang memperkukuhkan agama Islam, memartabatkan institusi negeri dan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN
The post Undang-undang hal ehwal Islam perlu ada sempadan kuasa jelas – Nurul Syazwani appeared first on Utusan Malaysia.




