
SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian undang-undang warisan penjajah yang digunakan untuk menyekat kebebasan rakyat perlu dihapuskan bagi memastikan negara benar-benar menghayati serta memaknai erti kemerdekaan.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka tidak seharusnya terus bergantung kepada pendekatan menambah undang-undang semata-mata untuk menyekat atau menakutkan rakyat.
“Kerana negara ini negara merdeka. Undang-undang warisan penjajah mesti dihapuskan supaya negara ini memaknai erti kemerdekaan. Sebab itu minggu lalu saya umumkan untuk universiti, kita hapuskan akta universiti yang menyekat dan mengongkong kerjaya mahasiswa. Anak muda tak bagi pandangan.
“Orang tua bagi pandangan pun banyak yang tahu. Anak muda bagi silap sikit, nak kena halang. Tak boleh. Bagi dia ruang,” katanya ketika berucap pada Program Ambang Merdeka Sahabat Madani 2026 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini, hari ini.
Menurut Anwar, kebebasan diberikan kepada golongan muda bukan bermaksud mereka boleh bertindak tanpa batas atau melanggar undang-undang sebaliknya, kesalahan yang dilakukan tetap perlu ditangani mengikut undang-undang sedia ada. – KOSMO! ONLINE
The post Undang-undang penjajah sekat kebebasan rakyat mesti dihapuskan – PM appeared first on Kosmo Digital.




