Unifi Mobile perkenal Prabayar UNI5G WOW baharu dengan data 10GB serendah RM10

Digital
6 Mar 2024 • 5:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unifi Mobile perkenal Prabayar UNI5G WOW baharu dengan data 10GB serendah RM10

zulfadli

06/03/2024 - 17:22

KUALA LUMPUR 6 Mac - Unifi Mobile memperkenalkan Prabayar UNI5G WOW terbaharunya dengan data 5G + 4G tanpa had, kelajuan 5G tanpa batas dan pelbagai ganjaran untuk memenuhi keperluan pengguna mudah alih prabayar.

Unifi memaklumkan, pek permulaan Prabayar UNI5G WOW dilengkapi dengan data 10 gigabait (GB) (5G + 4G) dan tempoh sah 30 hari serendah RM10.

Katanya, pelanggan boleh mendapatkan pek permulaan Prabayar UNI5G WOW dalam talian dan akan menerima Pas Larut Malam 5G Tanpa Had percuma.

"Sempena pelancaran, pek permulaan Prabayar UNI5G WOW ditawarkan secara percuma sebagai promosi eksklusif dalam talian melalui aplikasi Unifi Mobile atau Unifi eStore untuk pelanggan yang ingin mengekalkan nombor sedia ada mereka," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Komersial Unifi Segmen Pengguna, Jasmine Lee berkata, keperluan perkhidmatan mudah alih prabayar yang sentiasa bertambah memberi inspirasi kepada pihaknya untuk menilai semula apa yang benar-benar diperlukan oleh pengguna

"Kami sangat teruja untuk memperkenalkan Prabayar UNI5G WOW serba baharu ini yang telah disesuaikan dengan pengguna prabayar moden dan merupakan antara beberapa tawaran dalam pasaran dengan kelajuan 5G tanpa batas sepanjang hari.

"Semua pas data UNI5G WOW didatangkan dengan sambungan 5G, tanpa kos tambahan. Kini, faedah sambungan 5G pada kelajuan yang sangat pantas dapat dinikmati oleh semua...Kami juga menyepadukan perkhidmatan prabayar ke dalam aplikasi Unifi Mobile baharu, yang turut menjadi aplikasi untuk perkhidmatan pascabayar, memberikan pengalaman yang diperkemas untuk semua pengguna," katanya.

Menurut kenyataan itu, Prabayar UNI5G WOW juga menawarkan fungsi dan nilai tambahan, bermula daripada RM1, memenuhi keperluan pelbagai segmen pengguna dan gaya hidup.

Katanya, antara nilai tambahan baharu ini ialah pas data hujung minggu, pas menambah kelajuan, pas lanjutan dan pas panggilan.

"Untuk pencipta kandungan dan peminat platform seperti YouTube dan TikTok, pas khusus untuk platform media sosial ini juga tersedia.

"Pelanggan sedia ada yang melanggan pelan yang lama digalakkan untuk bertukar kepada Prabayar UNI5G WOW baharu melalui aplikasi Unifi Mobile terbaharu atau di TMpoint/Unifi Store terdekat," katanya.

Tambahnya, perubahan pelan ditawarkan secara percuma dan setelah selesai, pelanggan sedia ada berhak menerima 10GB data (5G + 4G) dengan tempoh sah selama 30 hari. - DagangNews.com