UNIQSAAS diharap muncul institusi pengajian bertaraf dunia

30 Jul 2026 • 4:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UNIQSAAS diharap muncul institusi pengajian bertaraf dunia

KUANTAN: Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) diharap mampu mengangkat nama Pahang di persada antarabangsa dengan muncul sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.

Hasrat itu dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kepimpinan institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut memastikan perjalanan UniQSAAS sentiasa berada di landasan terbaik bagi merealisasikan aspirasi tersebut.

Baginda bertitah, penjenamaan semula Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) kepada UNIQSAAS merupakan kesinambungan legasi yang dibina sejak tiga dekad lalu oleh kepimpinan terdahulu.

Titah baginda, usaha itu turut meneruskan perjuangan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan bekas Pengerusi UNIPSAS, Tan Sri Adnan Yaakob yang banyak menyumbang kepada pembangunan institusi berkenaan.

“Hari ini, saya hanya memanjangkan legasi itu, meningkatkan anjakan paradigma universiti ini ke satu lagi tahap supaya UNIQSAAS akan menjadi satu permata buat negeri dan rakyat Pahang.

“Saya berharap agar kepimpinan UNIQSAAS dapat memastikan perjalanan institusi itu mencapai tahap terbaik di dunia dan itulah harapan saya,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pemasyhuran UNIQSAAS di auditorium universiti itu di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan seluruh kepimpinan universiti perlu memainkan peranan bagi memastikan UNIQSAAS terus berkembang sebagai institusi pendidikan yang cemerlang di peringkat dunia.

Dalam pada itu, baginda berharap semua penuntut UNIQSAAS menerima pendidikan terbaik dengan keutamaan sewajarnya daripada kerajaan negeri dan pihak istana demi melahirkan modal insan berkualiti. – UTUSAN

The post UNIQSAAS diharap muncul institusi pengajian bertaraf dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved