Universal Music Group (UMG) dan Warner Music Group dilaporkan dalam perbincangan untuk melesenkan muzik milik artis mereka kepada syarikat kecerdasan buatan (AI). Antara syarikat yang telah melakukan perbincangan ialah ElevenLabs, Stability AI, Suno, Udio, Klay Vision, Google dan Spotify.

Penggunaan karya pemuzik untuk melatih model AI menjadi isu kontroversi kerana dilihat sebagai mencuri harta intelek pengkarya. UMG dan Warner Music dipercayai akan meminta bayaran setiap kali karya artis digunakan untuk menjadi muzik dengan ia menggunakan model royalti seperti digunakan pada platform penstriman.
Tahun lalu Suno dan Udio telah disaman oleh Sony Music, UMG dan Warner kerana didakwa melanggar hak cipta muzik milik mereka. Dalam writ saman yang difailkan, syarikat-syarikat rakaman ini mengatakan muzik yang dijana AI generatif akan bersaing, merendahkan nilai dan mengambil tempat muzik yang dihasilkan oleh manusia. Dalam masa setahun UMG dan Warner nampaknya kini bersedia melupakan saman ini menerusi pembayaran lesen.
