Universal Music Malaysia Dominasi 12 Kategori Daripada 21 Kategori Keseluruhan AIM23 

Music
13 Sep 2022 • 12:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia mendominasi 12 kategori daripada 21 kategori keseluruhan yang dipertandingkan dalam AIM23. - Gambar Universal Music Malaysia

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) telah mencatatkan kemenangan yang cukup manis buat Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia apabila mendominasi 12 kategori daripada 21 kategori keseluruhan yang dipertandingkan. 

image is not available
Ernie Zakri merangkul anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Sinar Mata Hati. - Gambar Universal Music Malaysia

Kemenangan itu terdiri daripada Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): 'Sinar Mata Hati' (Ernie Zakri), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): 'Tunggu' (V.E.), Album Terbaik: 'Yonny (Deluxe Edition)' (Yonnyboii), Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara: 'Tak Ingin Usai' (Keisya Levronka) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: 'Game of Charades' (Sophia Zuhri).

Kategori lain termasuk Lagu R&B/Hip Hop Terbaik: 'CIAO' (Joe Flizzow). Selain itu, Lagu Pop Terbaik:'Goodbye Hello' (Ernie Zakri & Syamel), Rakaman Album Terbaik: 'Belagu' (Dayang  Nurfaizah), Rakaman Lagu Terbaik: 'Tudung Periuk' (Dayang  Nurfaizah), Susunan Terbaik Dalam Lagu: 'Tudung Periuk' (Dayang Nurfaizah), Lagu Terbaik: 'Goodbye Hello' (Ernie  Zakri &  Syamel) dan Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi: 'Adakah Ini Mimpi' (Reedzwann).

image is not available
V.E cemerlang selepas memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): Tunggu. - Gambar Universal Music Malaysia

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, kemenangan yang  diraih Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia dianggap sesuatu yang luar biasa apatah lagi selepas industri hiburan tanah air ‘lumpuh’ ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun.

“Kita tahu sepanjang pandemik COVID-19 aktiviti  seni  tidak dapat dilaksanakan seperti sebelumnya. Namun, syarikat rakaman tidak boleh duduk diam saja. Jadi, apa yang dibuat adalah memperkasakan lagi kandungan di platform digital.  

“Justeru, sepanjang tempoh itu, Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia tetap rancak menghasil dan menerbitkan lagu khusus buat peminat muzik tanah air.

“Biarpun masih berdepan cabaran, tapi ia bukan halangan untuk syarikat rakaman berhenti daripada terus berkarya dengan menghasilkan lagu dan album berkualiti. Apatah lagi ini adalah asas yang menjadi keutamaan kami.

“Syarikat rakaman turut memberikan kebebasan kepada penyanyi untuk berkarya dan menunjukkan kreativiti mereka.

“Apa pun, kemenangan pada AIM23 bukti kerja keras semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak dalam semua karya yang diangkat. 

“Semoga ini menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan terbaik,” katanya.

image is not available
Keisya Levronka menyinar menerusi anugerah Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara: Tak Ingin Usai. - Gambar Universal Musical Malaysia

Kim Lim turut berharap aktiviti mempromosikan lagu secara lapangan diteruskan dan ia adalah tradisi yang tidak boleh dilupakan.

“Walaupun sepanjang tempoh pandemik dan PKP itu kebanyakan aktiviti dijalankan secara dalam talian membabitkan semua platform digital, Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia masih menjaga kualiti itu. 

“Pada masa sama, aktiviti ‘on ground’ yang kebiasaan dibuat sebelum ini masih perlu dijalankan. Kita tetap nak ada ‘vibes’ itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music Malaysia yang juga Ketua Def Jam Recording Malaysia, Hermond Cheng berkata, dia turut berbangga atas pencapaian diraih Def Jam Recordings Malaysia.

image is not available
Anugerah Lagu Pop Terbaik: Goodbye Hello milik Ernie Zakri & Syamel. - Gambar Universal Music Malaysia

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang menang pada AIM23 terutama daripada Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia. 

“Cukup bangga juga apabila Def Jam Malaysia bawa pulang dua kategori iaitu Album Terbaik: 'Yonny (Deluxe Edition)' (Yonnyboii) dan Lagu R&B/Hip Hop Terbaik: 'CIAO' (Joe Flizzow).

“Walaupun Def Jam Recordings Malaysia ini boleh dianggap pemain baru dalam pasaran muzik tempatan, kemenangan ini adalah bukti yang mana kita sentiasa mahu memberikan hasil  kerja dan karya yang berkualiti.  

“Pada masa sama, saya percaya sokongan daripada semua pihak antara penyumbang kepada kejayaan ini,” katanya. – Getaran, 13 September 2022