Universiti HELP, Borneo Empurau Farm meterai MoU perluas latihan professional dan penyelidikan di Sarawak

LocalBusiness & Finance
9 Dec 2025 • 12:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Universiti HELP, Borneo Empurau Farm meterai MoU perluas latihan professional dan penyelidikan di Sarawak
image is not available
haziq09/12/2025 - 12:01 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Dis – Universiti HELP memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Borneo Empurau Farm and Resort Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama strategik dalam memperluas inisiatif pendidikan, pembangunan profesional dan penyelidikan untuk komuniti di Sarawak.

 

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Universiti HELP baru baru ini dan disaksikan wakil kanan kedua-dua organisasi. 

 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Universiti HELP dan Borneo Empurau Farm and Resort Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengerusi dan Pengasasnya, Datuk Dr Yong Fook Heng, yang juga graduan DBA terbilang Universiti HELP menerusi laluan APEL.Q.

 

Menurut Universiti HELP, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelbagai program akademik dan latihan profesional berteraskan industri.

 

Di bawah kerjasama ini, kedua-dua pihak akan membangunkan serta melaksanakan program pendidikan eksekutif, latihan profesional, pembangunan kakitangan, projek penyelidikan bersama serta inisiatif pendidikan lain yang memberi manfaat bersama kepada industri dan komuniti setempat.

 

Dr Yong berkata, pihaknya yakin kerjasama itu mampu membawa impak transformatif bukan sahaja kepada Sarawak, malah pada peringkat serantau dalam jangka panjang. 

 

Katanya, inisiatif itu akan meningkatkan akses pendidikan dan kualiti latihan terutamanya di kawasan Kuching, Serian dan Samarahan.

 

Beliau menambah, lokasi strategik Borneo Empurau Farm and Resort di antara Kuching dan Serian meletakkannya sebagai hab sesuai untuk program pendidikan, pembangunan komuniti dan latihan berteraskan keperluan industri.

 

Sementara itu, Naib Canselor Universiti HELP, Dr Andy Liew berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar tertumpu kepada latihan dalam bidang hospitaliti, agro-industri atau kemahiran digital, sebaliknya membuka peluang baharu kepada individu yang memerlukan ruang untuk membina semula masa depan mereka.

 

“Di Universiti HELP, kami percaya pendidikan perlu menyentuh kehidupan, mengangkat martabat komuniti dan memulihkan keyakinan diri. Kerjasama ini membolehkan prinsip itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang bermakna,” katanya.

 

Menurut Dr Yong, MoU ini menjadi satu pencapaian penting buat kedua-dua pihak dalam menyediakan peluang baharu dalam pendidikan eksekutif, penyelidikan dan pembangunan profesional kepada rakyat Sarawak, sekali gus membantu memperkasa industri tempatan agar kekal berdaya saing dan inovatif.

 

Universiti HELP dalam kenyataannya memaklumkan kerjasama tersebut juga selari dengan misi institusi itu untuk mengembangkan jejak pendidikan di Malaysia Timur, di samping mengukuhkan hubungan dengan industri tempatan bagi menyokong peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penghasilan penyelidikan berimpak tinggi kepada pembangunan ekonomi dan sosial.

 

Kerjasama ini turut mencerminkan strategi Universiti HELP untuk memperluas jaringan industri-akademia bagi mewujudkan impak dunia sebenar, khususnya dalam bidang akuakultur inovatif dan pertanian mampan yang menjadi keutamaan Borneo Empurau Farm and Resort.

 

Majlis menandatangani MoU itu diakhiri dengan kedua-dua pihak menyatakan keyakinan terhadap potensi kerjasama jangka panjang, dengan pembangunan program dan aktiviti bersama dijangka bermula dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

Terkini standard