KAJANG, 21 MAC: Universiti Islam Selangor (UIS) meraikan lebih 100 golongan orang kurang upaya (OKU), autisme dan komuniti pelbagai agama dalam majlis berbuka puasa di Auditorium Mohd Adanan Isman, UIS di sini, hari ini.
Naib Cancelornya Dato’ Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata program bertujuan membina masyarakat inklusif di Selangor selain memupuk sifat rahmah yang menggalakkan kasih sayang di bulan Ramadan.
“Program iftar ini juga untuk menghargai golongan kelainan upaya, warga emas, dan komuniti setempat di Bandar Seri Putera serta Bukit Mahkota.
“UIS telah diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Negeri untuk menjadi institusi yang mengendalikan bandar ilmu di kalangan masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui.
Pada majlis sama, Dr Ravi mengagihkan sumbangan duit raya buat 70 orang penerima yang memerlukan.
“Setiap penerima menerima RM100. Sumbangan ditaja Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Yayasan UIS,” ujarnya.
Majlis diserikan dengan bacaan al-Quran oleh OKU penglihatan Nor Hidayu Mohd Yusoff diikuti dengan persembahan nyanyian nasyid penghidap autisme Umar Hafizal.


The post Universiti Islam Selangor rai golongan OKU, autisme, komuniti pelbagai agama appeared first on Selangorkini.



