
KUALA LUMPUR 23 Dis – Universiti Nottingham Malaysia (UNM) menjadi institusi pengajian tinggi pertama di Malaysia yang menggunakan Agentforce, platform tenaga kerja digital daripada Salesforce bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk pelajar sepanjang proses permohonan kemasukan universiti tersebut.
Bakal pelajar kini boleh berinteraksi dengan ejen AI, NOVA (Nottingham Online Virtual Assistant) untuk mendapatkan jawapan segera mengenai syarat kelayakan kursus, pilihan biasiswa dan penginapan serta membuat temu janji secara automatik dengan perunding kursus atau lawatan kampus.
UNM berkata langkah ini dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar antarabangsa, yang mewakili lebih 50 peratus pemohon UNM kerana mereka sering menghantar pertanyaan di luar waktu operasi tempatan.
“Apabila NOVA mengambil alih tugas pentadbiran, perunding kursus dan kakitangan kemasukan UNM boleh menumpukan lebih banyak masa kepada interaksi bersemuka dengan pelajar, sekali gus meningkatkan kualiti pengalaman mereka.
“Penerapan Agentforce juga membuktikan komitmen UNM dalam transformasi digital pendidikan tinggi, dengan menyediakan perkhidmatan pelajar yang lebih responsif, cekap dan diperibadikan pada skala besar,” katanya dalam satu kenyataan.


UNM yang ditubuhkan pada tahun 2000 kini menempatkan lebih 4,500 pelajar dari lebih 70 negara dan menawarkan program di bidang perniagaan, kejuruteraan, sains dan seni.
Pengarah Pemasaran dan Perekrutan Pelajar UNM Jagdish Singh berkata integrasi Agentforce membolehkan universiti menyediakan panduan dalam pelbagai bahasa secara 24/7 tanpa menjejaskan peluang pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan perunding.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Urusan Asia Selatan dan Asia Tenggara di Salesforce Arun Kumar Parameswaran berkata penerapan Agentforce adalah satu inisiatif UNM dalam mentakrif semula operasi kemasukan dan perkhidmatan pelajar, dengan menyatukan kepakaran manusia dan ejen AI untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih berkualiti pada skala besar.
Penerapan Agentforce dibina berdasarkan kejayaan UNM sebelum ini menggunakan Sales Cloud, Marketing Cloud, Digital Engagement dan Einstein.
UNM menggabungkan Agentforce dengan Sales Cloud untuk mengurus pertanyaan pelajar dan membantu menukar pemohon menjadi pelajar, termasuk:
Pertanyaan kursus pintar: Ejen AI akan memberikan jawapan segera dan konsisten tentang kursus, yuran serta biasiswa, sekali gus mengurangkan masa menunggu jawapan dan meningkatkan kepuasan pelajar.
Menyokong proses biasiswa dan penginapan pelajar: Ejen AI akan menyediakan maklumat mengenai biasiswa dan bantuan kewangan yang layak dipohon berdasarkan pencapaian akademik pelajar. Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat tentang pilihan penginapan di dalam atau sekitar kampus.
Tempahan janji temu lebih mudah: Pelajar boleh membuat tempahan sendiri untuk sesi perbincangan dengan perunding kursus atau lawatan kampus dalam beberapa saat, memilih waktu yang sesuai tanpa perlu menunggu maklum balas dari pihak universiti. - DagangNews.com



