
Kota Kinabalu: Sekolah Adat Anak Negeri Sabah mendapat perhatian daripada beberapa organisasi termasuk institusi pengajian tinggi yang mahu kolaborasi diwujudkan untuk memperkasa ilmu Informasi, Komunikasi dan Teknologi (ICT) bagi membantu memulihara adat dan budaya penduduk asal di sekolah ini.
Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Inti Internasional Universiti berminat dengan usaha yang dilakukan oleh Persatuan Pengamal Adat Tradisional Sabah (Sunduan Nabalu) yang bermula tahun ini, sudah membuka dua sekolah adat di Tuaran dan Nabawan.
Permintaan untuk membuka satu sekolah adat di setiap daerah di seluruh Sabah dikatakan semakin meningkat kerana tertarik dengan matlamat murni untuk memulihara adat budaya penduduk asal yang semakin dilupakan. Sehingga kini sudah ada lebih 150 pelajar di dua sekolah yang ada.
