Unjuran pendapatan Capital A pada FY23-25 dikurangkan sehingga 25% kesan penggabungan Asia Aviation Public – MIDF Research

Business & Finance
30 Aug 2023 • 9:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran pendapatan Capital A pada FY23-25 dikurangkan sehingga 25% kesan penggabungan Asia Aviation Public – MIDF Research

diyana

30/08/2023 - 09:37

KUALA LUMPUR 30 Ogos - MIDF Research mengurangkan pendapatan Capital A Berhad bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 25%, 21% dan 6% untuk mengambil kira penggabungan Asia Aviation Public Ltd (AAV), yang mengendalikan Thai AirAsia (TAA) pada Jun tahun ini.

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat berstatus PN17 itu mencatat kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) sebanyak RM178.2 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), menghasilkan LATAMI teras terkumpul RM161.6 juta dalam tempoh separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), meleset daripada unjuran firma disebabkan penggabungan perakaunan AAV.

Dengan penambahan lebih banyak kapasiti tempat duduk, firma itu berkata faktor beban diunjurkan kekal kukuh pada hampir 90%.

Jelasnya, kelewatan pengaktifan semula keseluruhan armada, yang pada mulanya ditetapkan pada 23 Ogos, adalah disebabkan kekurangan komponen dan kelengkapan kabin, serta keperluan penyelenggaraan untuk pesawat yang sudah tua.

Kumpulan itu kini menyasarkan untuk mengaktifkan semula 35 pesawat tambahan menjelang Disember tahun ini, tambahnya.

“Namun begitu, kami menjangkakan peningkatan lebih tinggi disokong persekitaran hasil semasa yang tinggi.

“Pada 2QFY23, tambang kekal 15% lebih tinggi daripada paras sebelum COVID dan ia dijangka melonjak pada 2HFY23, mencapai kemuncaknya pada 4QFY23.

“Kami juga yakin terhadap trajektori peningkatan pendapatan sampingan bagi setiap penumpang, berjumlah RM49 pada 2QFY23 (meningkat 37% berbanding tahap 2019), didorong oleh inisiatif produk baharu yang kukuh dan harga dinamik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma itu, jumlah kapasiti tempat duduk meningkat semula kepada 73% daripada paras 2019 pada 2QFY23, manakala faktor muatan kekal sihat pada paras melebihi 85%.

MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) disemak turun kepada 90 sen sesaham daripada RM1 sebelumnya.

Pada waktu penulisan, saham Capital A telah menokok 5.5 sen atau RM1.01 dengan permodalan pasaran sebanyak RM4.25 bilion. - DagangNews.com