Unjuran pendapatan MGB bagi FY23-25 dinaikkan sehingga 12% berikutan kejayaan perkembang operasi ke Arab Saudi – RHB Investment

Business & Finance
1 Aug 2023 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran pendapatan MGB bagi FY23-25 dinaikkan sehingga 12% berikutan kejayaan perkembang operasi ke Arab Saudi – RHB Investment

diyana

01/08/2023 - 12:30

KUALA LUMPUR 1 Ogos - RHB Investment menaikkan unjuran pendapatan MGB Berhad bagi tahun kewangan 2023 sehingga 2025 (FY23-25) sebanyak 12%, 7% dan 10% selepas kumpulan itu memeterai perjanjian usaha sama dengan firma Arab Saudi, SANY Alameriah Industrial (SA).

Firma penyelidikan itu berkata ia mengambil kira kadar jualan hartanah yang lebih pantas, di samping pertambahan pendapatan daripada usaha niaga pratuang di Arab Saudi.

Firma itu berpendapat bahawa jumlah isipadu produk konkrit pratuang yang dibekalkan boleh mencecah 300,000 meter padu (berbanding minimum 270,000 meter padu) dalam tempoh tiga tahun, disokong oleh permintaan kukuh untuk perumahan di Arab Saudi.

“Oleh itu, nilai potensi yang boleh diagihkan kepada MGB adalah kira-kira RM324 juta (dengan mengandaikan 45% bahagian nilai kontrak kepada MGB, harga SAR2,000 setiap meter padu dan kadar pertukaran SAR1 = RM1.2).

“Kami menjangkakan pertambahan pendapatan sebanyak RM22.7 juta dalam tempoh tiga tahun, dengan margin keuntungan selepas cukai (PAT) diandaikan 7%.

“Dari segi garis masa, kami menjangkakan sumbangan daripada usaha pratuang akan datang selepas separuh pertama 2024 (1H24),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Secara berasingan, RHB Investment berkata projek MGB di Idaman Bandar Saujana Putra (BSP) telah siap sekitar 51% (berbanding 33% pada akhir Mac) dengan kadar jualan hampir 100% - kira-kira dalam unjurannya.

Sementara itu, projek Idaman Melur mencapai kadar jualan sebanyak kira-kira 40% (berbanding 12% pada akhir Mac) – lebih cepat daripada anggaran awal firma tersebut sebanyak 40% kadar penukaran jualan menjelang akhir FY23.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1 sesaham daripada 93 sen.

Pada waktu penulisan, saham MGB susut 0.5 sen atau 0.7% kepada 69 sen dengan modal pasarannya bernilai RM408.2 juta. - DagangNews.com