Unjuran pendapatan MRCB bagi FY23 dikurangkan 16.8% susulan keputusan 1HFY23 di bawah jangkaan – MIDF Research

Business & Finance
1 Sep 2023 • 9:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran pendapatan MRCB bagi FY23 dikurangkan 16.8% susulan keputusan 1HFY23 di bawah jangkaan – MIDF Research

diyana

01/09/2023 - 09:46

KUALA LUMPUR 1 Sept - Unjuran pendapatan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dikurangkan 16.8% kepada RM49.6 juta sementara unjuran FY24 dikekalkan.

MIDF Research berkata bagi tempoh enam bulan terkumpul berakhir Jun 2023, pendapatan kumpulan merosot 11.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.34 bilion manakala pendapatan terasnya susut 31.3% YoY kepada RM19.3 juta.

Oleh itu, firma penyelidikan itu berkata keputusan untuk 1HFY23 adalah di bawah jangkaan, masing-masing mencapai 32.4% dan 43% daripada anggaran firma penyelidikan itu dan konsensus.

“Pekerjaan lain dalam radar MRCB yang belum ada dalam buku tender adalah pelan pembangunan semula KL Sentral, Stadium Shah Alam baharu, tempahan variasi potensi LRT3 dan projek tebatan banjir.

“Belum ada kepastian lagi dari segi garis masa dan saiz projek-projek ini tetapi mereka bersedia untuk memacu pertumbuhan MRCB dalam jangka panjang.

“Kumpulan itu juga telah dijemput oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) baru-baru ini untuk membuat tawaran semula bagi projek aerotrain KLIA selepas ia menamatkan kontrak lebih awal dengan Pestech International Bhd,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut firma itu, pendapatan dan keuntungan bersih MRCB dalam jangka terdekat akan didorong oleh baki kemajuan kerja bagi sistem dan kerja sivil LRT3, yang telah mencapai penyiapan fizikal masing-masing sebanyak 86% dan 87%.

Firma itu berkata buku pesanan tertunggak MRCB kukuh sebanyak RM16.45 bilion dan ia mempunyai pelbagai kerja dalam perancangan namun kejelasan lanjut diperlukan.

“Pengurusan menjangkakan margin menjadi sedikit lebih tidak menentu apabila ia menghampiri fasa akhir projek.

“Kami masih optimis terhadap prospek MRCB dengan jangkaan peningkatan dalam aliran kerja infrastruktur, tetapi kenaikan harga sahamnya baru-baru ini sebanyak 47.5% dari Julai hingga Ogos tahun ini mengalihkan saranan kami kepada ‘neutral’ kerana kami percaya prospek positif telah diambil kira pada masa ini.

“Pemangkin penarafan semula adalah kejelasan lebih baik tentang projek dalam perancangan dan anugerah kontrak yang lebih pantas daripada jangkaan,” katanya.

MIDF Research menurunkan taraf saranan saham kepada ‘neutral’ namun mengekalkan harga sasaran (TP) pada 42 sen sesaham.

Pada waktu penulisan, saham MRCB menokok 0.5 sen atau 1.1% kepada 45.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM2.03 bilion. - DagangNews.com