Unjuran pendapatan MRCB bagi FY23 dikurangkan 21.4% berikutan prestasi 9MFY23 lebih lemah – MIDF Research
diyana
28/11/2023 - 09:39
KUALA LUMPUR 28 Nov - Unjuran pendapatan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dikurangkan sebanyak 21.4% kepada RM39 juta berikutan prestasi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) lebih lemah, namun mengekalkan unjuran bagi FY24 dan FY25.
MIDF Research berkata pendapatan teras kumpulan pada 9MFY23 merosot 59.9% yoy kepada RM20.8 juta, meleset daripada jangkaan firma penyelidikan itu dan konsensus, membentuk hanya 41.9% dan 44.% daripada anggaran tahun penuh.
Kemerosotan tersebut adalah terutamanya disebabkan oleh segmen hartanah kumpulan yang lebih lemah dan kadar cukai lebih tinggi kerana peruntukan cukai lebih tinggi pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi MRCB dalam tempoh terdekat akan terus dipacu oleh baki projek untuk sistem dan kerja sivil LRT3, yang telah mencapai penyiapan fizikal masing-masing sebanyak 8% dan 91% walaupun margin boleh dijangka lebih tidak menentu apabila semakin menghampiri fasa akhir projek.
“Kami percaya MRCB sepatutnya boleh mendapat manfaat daripada jangkaan peningkatan dalam aliran kerja infrastruktur.
“Pemangkin penarafan adalah daripada kejelasan lebih baik terhadap projek dimilikinya dan anugerah kontrak yang lebih pantas daripada jangkaan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengulas mengenai langkah MRCB melupuskan Menara CelcomDigi untuk RM450 juta kepada Sentral REIT, MIDF Research berkata urus niaga yang dijangka selesai pada suku keempat tahun ini akan memberi pendapatan berulang, melalui pegangan 27.94% dalam Sentral REIT.
Sementara itu, MRCB mempunyai kepentingan dalam 466.6 hektar tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM33 bilion, menyediakan mereka dengan bekalan tanah jangka panjang yang mampan untuk projek masa depan.
“Di samping itu, peruntukan kerajaan sebanyak RM4.7 bilion untuk pembinaan lima stesen LRT3 yang sebelum ini terputus akan memanfaatkan MRCB dengan anggaran penambahan buku pesanan sehingga RM2 bilion, walaupun penjelasan lanjut diperlukan,” tambahnya.
Ketika ini buku pesanan belum dibilkan MRCB kukuh pada RM16.1 bilion, di samping usaha pihak pengurusan mengambil bahagian dalam tender untuk menambah buku pesanannya.
“Buku tender itu kini berjumlah RM30 bilion, tidak termasuk projek yang telah dijamin tetapi nilainya masih belum dimuktamadkan, seperti projek pembinaan semula Stadium Shah Alam dan pembangunan semula Stesen KL Sentral,” katanya.
MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) 42 sen sesaham dengan menambat nisbah harga kepada pendapatan (PER) ke hadapan sebanyak 26 kali kepada pendapatan sesaham (EPS) dicairkan sepenuhnya pada 1.6 sen untuk FY24.
Setakat pukul 9:37 pagi ini, saham MRCB telah turun 1.5 sen atau 3.4% kepada 42.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM1.9 bilion. - DagangNews.com

