Unjuran pendapatan Petronas Gas bagi FY24-25 disemak turun 9% dan 14% kesan perbelanjaan operasi lebih tinggi – MIDF Research

Business & Finance
21 Nov 2023 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran pendapatan Petronas Gas bagi FY24-25 disemak turun 9% dan 14% kesan perbelanjaan operasi lebih tinggi – MIDF Research

diyana

21/11/2023 - 09:44

KUALA LUMPUR 21 Nov - Unjuran pendapatan Petronas Gas Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing dikurangkan sebanyak 9% dan 14% selepas mengambil kira perbelanjaan operasi yang tinggi ditanggung dalam tiga segmen iaitu pengangkutan gas, pemprosesan gas dan pengegasan semula.

MIDF Research berkata penyelarasan unjuran tersebut adalah susulan pendapatan lebih rendah ketiga-tiga segmen berkenaan pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).

Meskipun optimis terhadap prospek kumpulan, firma penyelidikan itu berkata ia berhati-hati terhadap harga Brent dan pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menentu berikutan kegawatan di Timur Tengah.

Firma itu berkata prestasi kewangan Petronas Gas pada baki FY23 dijangka kekal teguh, disokong oleh kontrak dengan pendapatan yang stabil dan kecekapan operasi yang membanggakan.

“Bagaimanapun, risiko kepada operasi perniagaan kumpulan dalam masa terdekat berterusan, dengan pemacu utama termasuk ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang akan mengganggu rantaian bekalan, meningkatkan harga Brent dan Japanese Crude Cocktail (JCC) (mendorong harga rujukan Malaysia [MRP] lebih tinggi) dan menyebabkan harga tenaga tidak menentu (mendorong pelepasan kos tidak seimbang [ICPT] yang lebih tinggi).

“(Selain) melemahkan ringgit di tengah-tengah peningkatan kegawatan di Timur Tengah dan meningkatkan keperluan kelestarian untuk operasi dan kemudahan Petronas Gas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Walaupun risiko luaran ini akan memberi kesan ke atas harga dan permintaan gas asli, firma penyelidikan itu berkata ia percaya kumpulan itu akan mengekalkan komitmennya dalam mengekalkan kecemerlangan operasinya.

Firma itu juga menjangkakan utiliti akan terus menjadi aliran hasil utama dalam tempoh hampir hingga pertengahan, berdasarkan inisiatif kerajaan untuk penjanaan kuasa yang mampan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Mengulas mengenai keputusan pendapatan kumpulan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), firma itu berkata ia di bawah anggaran setahun penuhnya pada 66%.

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM18.75 sesaham daripada RM18.79 sebelumnya, ditambatkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 17.8 kali kepada semakan semula pendapatan sesaham 2024 (EPS24) pada 105.3 sen.

Setakat pukul 9:40 pagi ini, saham Petronas Gas telah turun 2 sen atau 0.1% kepada RM17.16, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM34 bilion. - DagangNews.com