Unjuran pendapatan Top Glove pada FY24-25 diturunkan sehingga 25% selepas prestasi 2QFY24 di bawah jangkaan – MIDF Research
diyana
22/03/2024 - 09:38
KUALA LUMPUR 22 Mac - Unjuran pendapatan Top Glove Corp Bhd pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing diturunkan sebanyak 25% dan 24%, menurut MIDF Research.
Meskipun firma penyelidikan itu positif terhadap prestasi kumpulan itu pada suku-suku berikutnya, unjuran berkenaan diselaraskan selepas mengambil kira pendapatan Top Glove pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) yang meleset daripada jangkaan baru-baru ini.
Syarikat pembuatan sarung tangan getah itu mencatat kerugian bersih teras RM38.1 juta dalam2QFY23, menjadikan kerugian bersih teras pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) berjumlah RM68.5 juta, tidak termasuk item sekali sahaja sebanyak RM13.1 juta.
“Pendapatan teras bersih 1HFY24 berada jauh di bawah ramalan FY24 kami, tetapi penambahbaikan itu sejajar dengan unjuran kerana kami kini menjangkakan peningkatan positif dalam pendapatan pada suku-suku akan datang.
Ini dengan jangkaan harga gas MRP lebih rendah, serta tempahan jualan dan purata harga jualan (ASP) lebih tinggi masing-masing sebanyak 5% hingga 10% pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, MIDF Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 87 sen sesaham berbanding 84 sen sebelum ini berdasarkan nilai buku sesaham (BVPS) 2024 yang disemak semula sebanyak 79.8sen yang ditambat kepada harga kepada nilai buku (P/BV) -0.5SD sebanyak 1.09 kali.
Firma itu menjelaskan bahawa saranan ‘neutral’ dikekalkan kerana ia menjangkakan kumpulan itu merekodkan pendapatan yang kecil namun positif pada suku-suku seterusnya, di samping ketidaktentuan harga bahan mentah bagi getah asli dan nitril dalam tempoh terdekat.
“Dalam jangka terdekat, harga bahan mentah untuk lateks getah asli pekat dijangka memuncak pada April 2024 dan menurun pada Mei 2024, manakala lateks nitril kini berada dalam trend menaik dan dijangka menurun pada Jun 2024.
“Ini menunjukkan bahawa lebihan bekalan sarung tangan di pasaran telah berkurangan secara perlahan dan permintaan meningkat seiring dengan bekalan yang terhad,” tambahnya.
Menurut MIDF Research, sebaik sahaja trend harga bahan mentah menurun pada 2HFY24, ia menjangkakan ketidakpadanan ASP dan kos bahan mentah akan memberi manfaat kepada Top Glove,
Selain itu, kadar penggunaan yang lebih tinggi berikutan trend tempahan yang semakin meningkat dijangka mengimbangi kos input pengeluaran yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

