Unjuran perolehan Synergy House FY24 dikurangkan 19.8% akibat kos penghantaran mahal - RHB IB
herman
07/08/2024 - 10:47
KUALA LUMPUR 7 Ogos - RHB Investment Bank menyemak turun unjuran perolehan Synergy House Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-FY25) sebanyak 19.8% dan 12.2% disebabkan kadar penghantaran muatan yang semakin mahal dan kos pengembangan lebih tinggi daripada jangkaan.
Firma penyelidikan itu berkata, meskipun syarikat pereka dan pengeksport perabot itu melindungi sebahagian daripada kos penghantaran muatannya, kadar penghantaran kontena sudah naik lebih tiga kali ganda sepanjang tahun ini (YTD).
Katanya, di samping iu, terdapat kelewatan mengalihkan kos kepada pelanggan akhir dalam segmen jualan perniagaan kepada pelanggan (B2C).
"Selepas menghadiri sesi taklimat baru-baru ini, kami juga menjangkakan belanja pentadbiran yang lebih tinggi berbanding ramalan sebelum ini, dengan kos kakitangan lebih mahal dan sewa pejabat tambahan sebagai persediaan untuk melancarkan pelantar B2C baharu dan inisiatif enjin ketiga, iaitu perkongsian pemboleh e-dagang Wayfair.
"Faktor-faktor ini berkemungkinan akan memberi kesan negatif terhadap margin keseluruhan syarikat untuk FY24F, kerana pihak pengurusan menjangka sumbangan daripada perniagaan enjin ketiga yang menguntungkan hanya akan diterima menjelang FY25.
"Tambahan itu, kami meramalkan kekurangan kontena yang semakin teruk akan menjejaskan penghantaran inventori bagi perniagaan B2C untuk 1Q25," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Walaupun berdepan cabaran kos sementara, RHB Investment yakin dengan pelaksanaan usaha, rekod prestasi dan keupayaan Synergy House dalam bidang e-dagang khususnya apabila dibandingkan dengan syarikat-syarikat yang baru menceburi segmen tersebut.
Kata firma itu, Synergy House telah menerima pertanyaan positif daripada syarikat-syarikat pengeluar perabot besar yang akan dibawa masuk dalam Wayfair AS dengan Synergy bakal menerima caj jualan 10% daripada jalinan perkongsian ini.
"Wayfair telah melaporkan dan memberikan bayangan untuk melaksanakan usaha promosi yang lebih giat pada 2Q24 dan 3Q24, maka kami menjangka akan melihat margin untung lebih rendah pada tempoh yang sama. Ramalan ini dibuat berdasarkan kegiatan penghabisan stok yang dijangkakan untuk set bilik tidurnya yang disenaraikan di laman web Wayfair AS, kerana kebanyakannya tidak dilengkapi dengan sistem antipenguncian.
"Di samping potensi kerugian perlindungan FX (kerana kadar mata wang AS$/RM meningkat QoQ), Synergy House mungkin mencatat kerugian bersih pada 2Q24," jelasnya.
Dalam pada itu, RHB Investment tetap memandang positif akan Synergy House, memandangkan ia mempunyai prospek pertumbuhan yang memberangsangkan apabila memanfaatkan pelantar Wayfair dan sumber pendapatan berulang baharu mungkin muncul apabila syarikat-syarikat pengeluar perabot tempatan dibawa masuk dalam Wayfair.
"'Beli' dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM1.36 sesaham daripada RM2.01, potensi kenaikan harga saham 26% dengan kadar hasil dividen sekitar 1% untuk FY24," ujarnya.- DagangNews.com

