Unjuran untung Cahya Mata Sarawak bagi FY24 dinaikkan 8% - Maybank IB

Business & Finance
24 May 2024 • 10:12 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Unjuran untung Cahya Mata Sarawak bagi FY24 dinaikkan 8% - Maybank IB

herman

24/05/2024 - 10:12


KUALA LUMPUR 24 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaikkan ramalan keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 8%.

Semakan unjuran ini susulan keuntungan bersih CMS pada suku pertama FY24 (1QFY24) melebihi jangkaan sebanyak 28% dan 27% daripada ramalan tahun penuh dan konsensus disebabkan prestasi kukuh semua segmen termasuk simen.

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli saham CMS dengan harga sasaran (TP) yang disemak semula pada RM1.38 sesaham, kenaikan 10 sen.

"CMS terus menjadi proksi kepada aktiviti pembinaan yang lebih banyak di Sarawak. Kami kekalkan saranan Beli taktikal kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Maybank IB, keuntungan bersih 1Q24 CMS adalah RM38juta iaitu peningkatan +6% QoQ dengan keuntungan segmen simen turun YoY atas dasar volum jualan yang lebih rendah, dipengaruhi oleh musim hujan yang berlarutan.

"Margin untung sebelum cukai (PBT) simen - pada 18% - bagaimanapun masih lebih tinggi daripada ramalan kami.

"Penyelenggaraan jalan mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi YoY disebabkan oleh kerja-kerja pihak ketiga & yang diperintahkan, manakala pendapatan harta tanah meningkat kerana penjualan tanah.

"Keuntungan Oiltools meningkat lebih dari tiga kali ganda atas prestasi yang kukuh di Nigeria dan Indonesia, manakala kerugian fosfat turun 25% YoY atas opex yang lebih rendah," jelasnya.

Kata Maybank IB, dari segi QoQ, pertumbuhan keuntungan bersih disumbangkan oleh Oiltools dan harta tanah, dan kerugian yang lebih rendah di operasi fosfat (-67%).

"CMS secara berhati-hati optimis terhadap prospeknya dalam FY24, dengan cabaran utama adalah kadar pertukaran wang asing dan hasil dari proses arbitrasi yang sedang berlangsung untuk operasi fosfatnya.

"Ramalan keuntungan FY24E kami yang disemak semula menunjukkan pertumbuhan YoY sebanyak 28%, dengan penyumbang utama adalah operasi simennya (47% daripada PBT kumpulan dalam 1Q24), diikuti oleh rakan kongsi (SACOFA & Kenanga; 30%) dan Oiltools (26%).

"Penyata kewangan kekal kukuh dengan tunai bersih sebanyak MYR527juta atau 49sen/saham pada akhir 1Q24, di mana MYR278juta atau 26sen/saham adalah sekuriti pelaburan," ujarnya.

CMS semalam melaporkan pendapatan berjumlah RM277.37 juta untuk suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), peningkatan sebanyak 1% berbanding setahun sebelumnya sebanyak RM275.67 juta.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) dari operasi Kumpulan adalah lebih tinggi pada RM57.26 juta berbanding dengan PBT 1QFY23 sebanyak RM39.26 juta.- DagangNews.com