UNL: Itali sedia gempur Perancis

Football
2 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UNL: Itali sedia gempur Perancis

MILAN – Pemain pertahanan Itali, Giorgio Scalvini memberikan amaran kepada Perancis bahawa mereka tidak akan bermain secara bertahan menjelang aksi Kumpulan A1 Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di Stade de France awal pagi esok.

Sebaliknya, dia tanpa berselindung menggesa Les Bleus supaya berwaspada kerana Itali akan turun dengan corak permainan lebih terbuka dalam usaha mereka untuk membawa pulang tiga mata penting.

Scalvini berkata, mereka sedar dengan kemampuan serta kekuatan dimiliki juara dunia dua kali itu, namun menegaskan, Itali di bawah kendalian Roberto Mancini merupakan pasukan yang jauh berbeza.

“Perancis merupakan sebuah pasukan yang sangat kuat dan antara terbaik di dunia. Bagaimanapun, kami adalah Itali dan semua pemain sudah bersedia untuk menunjukkan apa yang kami lakukan dalam latihan.

“Misi kami adalah untuk bermain secara terbuka biarpun semua orang tahu apa yang mampu dilakukan Perancis. Ini adalah perlawanan di mana kami boleh melihat kemampuan sebenar Itali,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga mengakui Azzurri masih berada dalam fasa kembali mencari identiti selain mahu mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Turkiye 4-1 pada perlawanan yang berlangsung Selasa lalu.

“Mancini mahukan sebuah pasukan yang mampu untuk mendominasi permainan. Saya juga gembira kami mampu bangkit daripada kekalahan kepada Belgium pada perlawanan pertama dengan menewaskan Turkiye,” ujar Scalvini. – AGENSI

 

The post UNL: Itali sedia gempur Perancis appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved