UNM Seru Agar Usaha Menguruskan Sungai Tempatan Dipergiat

LocalEnvironment
9 Nov 2022 • 2:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Semenyih, Selangor, 9 November 2022 – Air adalah sumber kehidupan. Menjamin bekalan air bersih untuk semua tersenarai di tangga keenam Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu. Sesungguhnya usaha mencapai SDG6 – ‘Air Bersih dan Sanitasi’ amat penting untuk mewujudkan masa depan lestari. Sungai secara khususnya merupakan sumber bekalan air penting yang boleh mempengaruhi pembangunan alam sekitar, sosial dan ekonomi, selain membawakan kesan secara langsung terhadap penduduk sekitar.

Dalam konteks global, sungai menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, keselamatan makanan dan kesejahteraan insan. Dianggarkan seramai dua bilion orang bergantung kepada sungai untuk bekalan air minuman. Sungai juga merupakan sumber ikan air tawar untuk ramai orang, dan di beberapa negara, air adalah sumber tenaga. Pada hakikatnya, sungai-sungai di Malaysia kini dalam bahaya akibat pencemaran perindustrian yang kian meningkat dan kewujudan bahan toksik yang menyebabkan penutupan kerap loji rawatan air dan seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan air. Limpahan sungai pada musim monsun atau tengkujuh juga boleh memberikan kesan negatif kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.

Program Hidrologi Antara Kerajaan (IHP) University of Nottingham Malaysia (UNM) dan UNESCO (IHP) Malaysia baru-baru ini menganjurkan Program Kesedaran Air UNESCO IHP Malaysia. Dengan tema ‘Sungai Sebagai Nadi Kelestarian’, program ini bertujuan untuk menangani kebimbangan di peringkat tempatan dan global tentang air, dengan mendidik pelajar mengenai keperluan dan kepentingan melindungi dan memulihara sungai dan langkah-langkah yang boleh diambil. Program ini juga memberi peluang kepada pakar dan pihak berkepentingan untuk membina jaringan dan bertukar-tukar fikiran tentang masalah pengurusan air Malaysia.

Pengerusi jawatankuasa penganjur dan Profesor Madya Kejuruteraan Air UNM, Ir Ts Dr Teo Fang Yenn, berkata, “Kami mahu meningkatkan kesedaran tentang isu-isu air global dalam kalangan belia. Suatu hari nanti mereka bakal menjadi pemimpin masa depan yang memperjuangkan isu pengurusan air. Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu mengambil tindakan terlebih dahulu di peringkat tempatan dengan menyelesaikan isu-isu air yang memberi kesan terhadap masyarakat sekitar, dengan menggalakkan inisiatif melindungi dan memulihara sungai.”

Memandangkan kampusnya terletak di Semenyih, UNM telah membuat keputusan untuk menumpukan program airnya di Sungai Semenyih, sekali gus memikul tanggungjawab untuk memulihara sungai ini. Sungai Semenyih ialah sumber air yang memberi kesan secara langsung kepada komuniti UNM sendiri dan juga penduduk di sekitar Lembah Klang secara umumnya. Zarah plastik mikro pernah ditemui di dalam sungai ini dan tahun lepas, sampel air telah diambil daripada sungai kerana disyaki dicemari diesel. Sungai ini sememangnya perlu dilindungi dan dipulihara.

“Kami berbangga dengan peluang untuk berganding bahu dengan University of Nottingham Malaysia untuk mendidik insan yang bakal mencetus perubahan masa depan kita. Kami percaya bahawa perubahan bermula dengan golongan belia dan kami berharap untuk melengkapkan mereka dengan ilmu yang diperlukan untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif yang dapat menangani masalah air global dan juga pemuliharaan sungai satu hari nanti,” ujar Setiausaha Kehormat UNESCO IHP Malaysia, Ir Hj Azmi Ibrahim.

Usaha menggiatkan pengurusan sungai tempatan juga penting untuk menangani isu perubahan iklim, terutamanya di kawasan tropika seperti Malaysia. Pemanasan global telah menyebabkan hujan berpanjangan di kawasan-kawasan ini, lantas meningkatkan risiko bencana alam, termasuk banjir dan tanah runtuh. Menanam pokok ialah salah satu cara paling mudah negara kita boleh menangani masalah tersebut.

Menurut pertubuhan bukan keuntungan, One Tree Planted, pokok membantu menyerap dan menyimpan air hasil tadahan hujan atau banjir kilat, dan sedia membantu kerajaan menjimatkan kos melabur dalam sistem takungan air hujan ribut yang memerlukan pembinaan struktur fizikal. Pokok juga membantu mencegah hakisan tanah dan juga tanah runtuh. Menyedari manfaat yang diberikan, UNM, UNESCO IHP Malaysia dan Semenyih EcoVenture Resort & Recreation telah menanam 80 pokok di acara tersebut, sebagai sebahagian daripada “Inisiatif Menanam Pokok: Tanam Pokok Demi Manfaat Sungai dan Semai Harapan Demi Mencapai Kelestarian.”

Mengulas mengenai peranan para penggubal dasar menyelesaikan masalah air tempatan, Dr Teo berkata, “Langkah-langkah positif yang diambil Kerajaan kita seperti menyediakan peruntukan tahunan dalam belanjawan akan membantu agensi, organisasi dan pakar yang berkenaan untuk menangani cabaran ini. Namun begitu, usaha berterusan diperlukan daripada semua pihak berkepentingan dan tindakan tegas hendaklah diambil terhadap aktiviti haram yang menjejaskan sungai untuk menjana perubahan bermakna.”

Belanjawan 2023 yang diumumkan baru-baru ini menggariskan inisiatif penting bagi kelestarian alam sekitar dengan memperkenalkan cukai karbon, janji untuk meningkatkan usaha pemulihan hutan dan ikrar untuk menanam 100 juta pokok menjelang 2025. Belanjawan juga memperuntukkan RM216 juta untuk membersihkan sungai-sungai di seluruh negara, seiring usaha mewujudkan masa depan lestari.

Program Kesedaran Air UNESCO IHP Malaysia mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 120 wakil daripada agensi kerajaan, organisasi swasta dan universiti, termasuk Universiti Malaya (UM); Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); SEGi University; dan Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL). Ahli-ahli akademik daripada institusi-institusi ini dan pakar-pakar industri lain juga turut serta sebagai penyelaras modul.

“Sesungguhnya kita perlu mengajar belia kita memulihara sungai dari usia muda, dengan menganjurkan lebih banyak program mengenai ekosistem sungai, memahami isu-isu yang dihadapi dan menentukan cara terbaik untuk menanganinya,” ujar penyelaras modul dan Ketua Pegawai Penyelidikan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nik Mohd Noor Faizul Md Saad.

Sepanjang perjalanan Program Kesedaran Air UNESCO IHP Malaysia, UNM, dengan sokongan pelbagai rakan kerjasama, lapan modul mengenai interaksi air dan manusia; pemuliharaan air dan tanah bencah; biokepelbagaian air dan pangkalan data; kualiti dan pemantauan air; aliran air dan ukurannya; persekitaran air dan biopenanda; pencemaran dan rawatan air; dan sumber air dan pemuliharaan hutan telah berjaya disampaikan.

Program tersebut dianjurkan oleh UNM, dengan UNESCO IHP Malaysia selaku tuan rumah. Mereka juga telah bekerjasama dengan badan-badan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran; Perbadanan Putrajaya; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Global Water Consultants Sdn Bhd; dan Semenyih EcoVenture Resort & Recreation.

View Original Article