Unsur Jenayah & Kecuaian Antara Elemen Yang Disiasat Dalam Insiden Kebakaran Paip Gas Putra Heights – KPN

LocalPolitics
7 Apr 2025 • 5:06 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Walaupun telah hampir seminggu berlalu, tragedi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada Selasa (1 April) kira-kira jam 8.10 pagi masih lagi hangat diperkatakan.

Manakan tidak, puluhan rumah dan harta benda musnah akibat daripada tragedi yang menggemparkan negara itu.

Bukan sahaja isu kediaman dan harta benda yang musnah, bahkan orang ramai turut mempersoalkan punca berlakunya letupan antaranya dakwaan yang mengatakan kerja mengorek tanah sebagai faktor penyebab.

Namun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan baru-baru ini mengesahkan wujud kerja-kerja ekskavasi tanah yang dilakukan kira-kira 30 meter dari pusat letupan.

Pada fasa ini juga, siasatan terperinci di lokasi kejadian juga akan dilakukan sebaik sahaja lokasi insiden berkenaan berada dalam keadaan stabil.

Unsur Jenayah & Kecuaian Antara Elemen Disiasat – KPN

Terbaharu, unsur jenayah dan kecuaian merupakan antara elemen yang akan disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, siasatan berhubung insiden itu kini tertumpu kepada pelbagai aspek termasuklah elemen jenayah dan kecuaian bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Buat masa ini siasatan ini menjurus kepada elemen jenayah dan kecuaian. 

“Kecuaian ini banyak, ada yang kata ia disebabkan faktor manusia namun ada juga kemungkinan berlaku pergerakan tanah di bawah permukaan.

“Tekanan tinggi daripada aliran air dan macam-macam faktor lain juga boleh jadi punca. Itulah yang kita bincangkan tadi,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.

Siasatan Fokus Kepada Lokasi Ground Zero, Libatkan 10 Agensi

Tambah beliau, siasatan di lokasi kejadian hari ini (7 April) lebih memfokuskan kepada sudut geoteknikal iaitu keadaan tanah di kawasan ground zero melibatkan 10 agensi.

Malah pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan forensik juga sedang menilai tahap keselamatan lokasi kejadian bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian tanah jerlus.

“Pasukan bomba pula akan memastikan semua siasatan forensik dilakukan dengan pemantauan keselamatan rapi.

“Kita risau keadaan tanah di situ, kekuatannya belum dipastikan. Bila kita masuk, kita tidak tahu sama ada tanah itu kukuh atau tidak.

“Kita bimbang jika berlaku kejadian tanah jerlus pula. Itu sangat penting bagi memastikan tiada sebarang kecederaan berlaku lagi,” jelasnya.

Pihak Polis Pentingkan Faktor Keselamatan Penduduk

Tambah Razarudin, pihaknya mementingkan faktor keselamatan khususnya melibatkan penduduk setempat.

“Dari sudut keselamatan pula, keselamatan pelawat yang berada di kawasan ini serta kesejahteraan secara keseluruhannya adalah perkara utama yang kita tekankan,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dalam insiden yang berlaku pada hari raya kedua itu, sebanyak 219 rumah didapati terjejas manakala 220 lagi kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ia berdasarkan hasil penilaian oleh JBPM Selangor, syarikat uitiliti serta pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap 439 rumah dalam kedudukan radius 325 meter dari pusat letupan.

“Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20% manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20%,” katanya.

Sehingga semalam (6 April), Hussein Omar turut menjelaskan sebanyak 154 rumah telah disahkan selamat untuk diduduki semula.

Source: