Untung 4Q BAT Malaysia melonjak, kenaikan harga rokok pacu prestasi terbaik 7 tahun

LocalBusiness & Finance
10 Feb 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung 4Q BAT Malaysia melonjak, kenaikan harga rokok pacu prestasi terbaik 7 tahun image is not available johardy10/02/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Feb - British American Tobacco (M) Bhd atau BAT Malaysia menutup tahun kewangan terbaharunya dengan prestasi suku tahunan terkuat dalam tempoh tujuh tahun, didorong oleh kenaikan harga runcit jenama rokoknya serta peningkatan volum penghantaran.

 

Keuntungan bersih bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4QFY2025) melonjak lebih dua kali ganda kepada RM121.2 juta berbanding RM48.97 juta setahun sebelumnya, menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia.

 

Hasil pula meningkat 45.2% kepada RM947.98 juta daripada RM653.03 juta.

 

Harga runcit jenama rokok BAT Malaysia, termasuk Dunhill, Benson & Hedges, Peter Stuyvesant, KYO, Rothmans dan Luckies, dinaikkan pada November tahun lalu susulan kenaikan duti eksais sebanyak dua sen bagi setiap batang rokok yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026.

 

Kumpulan itu berkata, volum meningkat mendadak sebanyak 172% apabila peruncit membuat penambahan stok sebelum pelarasan harga runcit dilaksanakan.

 

Faktor tersebut, digabungkan dengan inisiatif pengoptimuman kos, telah menyumbang kepada prestasi pendapatan yang kukuh.

 

BAT Malaysia turut mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 39 sen sesaham melibatkan jumlah RM111.36 juta, yang akan dibayar pada 10 April ini, menjadikan jumlah agihan dividen bagi setahun penuh kepada 63.5 sen sesaham.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan, keuntungan bersih BAT Malaysia meningkat 10.5% kepada RM202.45 juta berbanding RM183.14 juta pada FY2024, walaupun hasil menyusut 5.2% kepada RM2.20 bilion daripada RM2.32 bilion.

 

Prestasi kumpulan pada suku terakhir menyumbang lebih separuh daripada jumlah keuntungan setahun penuh, sekali gus menonjolkan kepentingan tempoh tersebut terhadap prestasi kewangan keseluruhan syarikat.

 

Pasaran Gelap Terus Menekan Kelestarian Industri Sah

BAT Malaysia mengulangi pendirian bahawa kenaikan duti eksais dijangka terus menggalakkan pasaran gelap tembakau, berikutan jurang harga yang semakin melebar antara produk tembakau sah dan tidak sah.

 

Walaupun pegangan pasaran rokok haram menurun kepada 54.4% berbanding 57.2% setahun lalu, isu tersebut masih kekal sebagai cabaran utama kepada industri tembakau sah di negara ini.

 

Pengarah Urusan BAT Malaysia, Nedal Salem berkata, pasaran gelap tembakau kekal sebagai halangan struktur terbesar kepada kelestarian industri sah serta pemulihan hasil cukai kerajaan.

 

“Kumpulan kekal menyokong usaha kerajaan dalam membanteras pasaran gelap tembakau dan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh integriti pasaran.

 

"Pencapaian penguatkuasaan yang mencatat rekod pada 2025 membuktikan keberkesanan tindakan yang diselaraskan,” katanya.

 

Saham BAT Malaysia ditutup meningkat lima sen atau 1.11% kepada RM4.57 pada Isnin, dengan nilai pasaran kumpulan berjumlah RM1.3 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard