Untung bersih 2QFY24 Frontken meningkat kepada RM33.3 juta didorong sumbangan positif anak syarikat di Taiwan

Business & FinanceStartup
14 Aug 2024 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih 2QFY24 Frontken meningkat kepada RM33.3 juta didorong sumbangan positif anak syarikat di Taiwan

azan

14/08/2024 - 14:32

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Untung bersih Frontken Corp Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) meningkat kepada RM33.3 juta berbanding RM31.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong sumbangan lebih tinggi daripada anak syarikatnya di Taiwan.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan itu bagi suku tersebut juga meningkat kepada RM134.9 juta mengatasi RM121.2 juta pada tahun sebelumnya.

"Hasil kumpulan untuk suku semasa meningkat kira-kira 11% berbanding suku tahun sebelumnya disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada anak syarikat kumpulan itu di Taiwan.

"Jumlah dagangan dalam ruang separa konduktor meningkat disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi dan pesanan kukuh daripada pelanggan yang memanfaatkan anak syarikat kumpulan itu di Taiwan," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

Sementara itu, untung bersih kumpulan itu bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24) meningkat kepada RM63.3 juta berbanding RM55.5 juta pada tahun sebelumnya didorong peningkatan hasil kepada RM275.4 juta berbanding RM235.1 juta pada 1HFY23.

Katanya, hasil kumpulan pada 1HFY24 meningkat sebanyak 17% atau RM40.3 juta disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik daripada hampir semua anak syarikat terutamanya yang terlibat dalam industri semikonduktor.

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu melihat penggunaan kemudahan kedua yang lebih baik di Taiwan dengan peningkatan permintaan daripada pelanggan membuatkan mereka optimis dengan trend itu akan berterusan sepanjang baki tahun ini.

Katanya, sebahagian projek yang dibangunkan bersama pelanggan juga mula membuahkan hasil.

"Pada masa yang sama, kami akan terus memberi tumpuan kepada kualiti perkhidmatan kepada pelanggan dan kecekapan operasi bagi mengekalkan daya saing serta memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan kumpulan," katanya. - DagangNews.com