Untung bersih 4QFY24 ELK-Desa melonjak 30% kepada RM9.71 juta didorong sumbangan lebih tinggi segmen sewa beli

Business & FinanceStartup
23 May 2024 • 4:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih 4QFY24 ELK-Desa melonjak 30% kepada RM9.71 juta didorong sumbangan lebih tinggi segmen sewa beli

azan

23/05/2024 - 16:13

KUALA LUMPUR 23 Mei - Untung bersih ELK-Desa Resources Bhd bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024 (4QFY24) melonjak 30% kepada RM9.71 juta berbanding RM7.49 juta bagi suku sama tahun sebelumnya didorong sumbangan lebih tinggi daripada segmen sewa beli.

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku berkenaan meningkat 16% kepada RM46.63 juta daripada RM40.29 juta setahun lalu hasil sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabot.

Perkembangan portfolio sewa beli kumpulan menyaksikan pendapatan segmen itu meningkat sebanyak 12% kepada RM113.23 juta daripada RM100.76 juta setahun lalu.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai bagi segmen itu susut sebanyak 20% kepada RM46.05 juta daripada RM57.82 juta akibat daripada ketiadaan pembalikan elaun rosot nilai.

"Kos kewangan meningkat sebanyak 38% kepada RM12.13 juta disebabkan perbelanjaan faedah diskaun blok yang lebih tinggi hasil daripada pengeluaran kemudahan yang lebih tinggi untuk menyokong peningkatan belum terima sewa beli.


"Penggearan kumpulan pada 31 Mac 2024 kekal pada tahap terurus sebanyak 0.62 kali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi FY24, untung bersih kumpulan susut RM36.66 juta, daripada RM47.74 juta setahun lalu disebabkan ketiadaan pembalikan elaun rosot nilai untuk segmen sewa beli pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya manakala hasil setahun penuh meningkat kepada RM167.78 juta, berbanding RM155.24 juta.

Bagi tahun kewangan itu, segmen perabot mencatatkan peningkatan hasil kepada RM54.55 juta berbanding RM54.48 juta disebabkan jualan perabot lebih tinggi.

Bagaimanapun, margin untung kasar bagi segmen tersebut susut kepada 35% daripada 38% disebabkan kos pembelian barangan import yang lebih tinggi akibat pertukaran asing yang lebih lemah, penurunan harga kos inventori dan pengurangan margin am akibat persaingan yang lebih sengit.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Teoh Seng Hee berkata, bagi FY25, kumpulan itu menyasarkan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dengan meluaskan segmen sewa beli.

Beliau berkata, bagi segmen perabot, pihaknya akan terus mengembangkan kehadiran kumpulan di Sabah dan Sarawak selain merancang untuk mengukuhkan aturan logistic bagi memberi daya saing lebih tinggi berbanding pemborong lain.

"Dalam usaha untuk lebih berdaya saing dalam pasaran Malaysia Timur, kami menyasarkan untuk menawarkan lebih banyak pilihan dan rangkaian produk selain menjadikan kumpulan sebagai akan kongsi dalam menyampaikan produk berkualiti tinggi," katanya.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen peringkat tinggal kedua sebanyak 3 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan akan dibayar kepada pemegang saham pada 20 Jun 2024.- DagangNews.com